Solat Aidilfitri dua kali: Imam tampil beri penjelasan

IMAM 1 Masjid Tengku Mahkota Abdullah Jerantut (MTMAJ) tampil memberi penjelasan berhubung isu solat sunat Aidilfitri yang terpaksa dilakukan semula pada pagi hari raya pertama.

Imam berkenaan, Mohd Fikir Hamzah menerusi akaun TikToknya semalam mengakui dia adalah imam yang bertanggungjawab hingga solat sunat Aidilfitri di masjid itu menjadi tular kerana terpaksa diulang semula.

“Saya akui memang terlupa untuk mengangkat takbir lima kali pada rakaat kedua solat berkenaan namun meneruskan solat sehingga selesai.

“Selepas beri salam, saya berbincang dengan jemaah di saf pertama dan masing-masing beri pendapat ada yang kata terus khutbah dan ada kata buat solat semula, kemudian saya buat keputusan untuk bincang dengan semua jemaah.

“Saya buat pengumuman solat tadi ada kesilapan, kemudian saya tanya pendapat semua jemaah apakah kita hendak teruskan khutbah atau sembahyang semula.

“Rata-rata jemaah hendak solat semula, jadi saya buat keputusan untuk solat semula,” katanya.

Beliau menjelaskan berdasarkan hukum juga tidak jadi masalah solat pertama itu sah dan kedua itu juga sah.

“Saya dah rujuk guru dan mereka yang pakar dalam bidang ini dan mengulangi solat Aidilfitri itu adalah sah dan tidak menjadi kesalahan,” katanya.

Dalam pada itu beliau turut menasihati umat Islam supaya datang ke masjid kerana Allah SWT.

“Datang masjid bukan kerana imam, bukan kerana sebab ada ‘aircond’ atau hendak cari kesalahan orang lain,” ujarnya.

Mohd. Fikir turut mengucapkan terima kasih kepada pihak yang memahami, memuji dan bersangka baik dengan apa yang terjadi.

“Kepada yang komen tak baik dan sebagainya saya dah maafkan, kira-kosong-kosong tIada masalah,” katanya, lapor Sinar Harian.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *