Sindiket pasang jenama tiruan selepas import, kata KPDN

KEMASUKAN barangan tiruan dari luar negara tanpa sebarang jenama menyukarkan pihak berkuasa membanteras kegiatan penjualan barangan itu sepenuhnya.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, rampasan sukar dibuat di peringkat kemasukan kerana kerajaan tidak menghalang import pakaian/tekstil dari luar, selagi tidak menyalahi peraturan seperti penggunaan cap dagang secara salah.

“Misalnya, pakaian tiruan yang dibawa masuk dari Bangladesh, kebanyakannya masuk tanpa jenama dan setelah lepas pemeriksaan pihak berkuasa, baik di pelabuhan atau lapangan terbang, sindiket akan memasangkan jenama tiruan dan membuat cetakan di dalam negara.

“Ketika dibawa masuk, ia tidak menjadi kesalahan sebab tiada jenama atau jenama syarikat pada item. Kerana yang dipaten dan didaftarkan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) adalah jenama paten itu saja (selepas ia dipasangkan jenama),” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Beliau berkata, pihaknya turut berdepan kesulitan dalam membasmi kegiatan itu kerana dalam sesetengah keadaan, mereka tidak mendapat kerjasama penuh wakil cap dagang ketika melakukan serbuan.

Katanya, kehadiran wakil cap dagang dalam setiap operasi atau serbuan di stor mahupun premis barangan tiruan penting kerana pengesahan status sama ada barangan itu tiruan atau tidak hanya boleh dilakukan mereka.

“Kami menerima banyak laporan dan aduan orang awam mengatakan penjualan barangan tiruan di sesuatu lokasi. Mengikut prosedur, kami perlu berhubung dengan wakil cap dagang untuk mereka turut serta dalam operasi.

“Misalnya, dalam serbuan di Jalan Petaling baru-baru ini yang melibatkan lebih 30 wakil cap dagang. Namun, ada daripada mereka tidak hadir, jadi kami tidak boleh mengambil barang-barang tersebut walaupun diketahui ia barangan tiruan.”

Bagaimanapun, beliau berkata, cabaran terbesar dihadapi pihaknya adalah mendidik masyarakat menghormati cap dagang, sekali gus menghapuskan mentaliti membeli barangan tiruan semata-mata bagi memenuhi kehendak untuk bergaya.

Apabila pengguna membeli sesuatu barangan tiruan, katanya, mereka mungkin merasakan sudah ‘memiliki’ produk berjenama, namun hakikatnya mereka sedang menghancurkan institusi yang mencipta suatu jenama dan akhirnya memberi kesan secara langsung kepada ekonomi negara.

“Terutama sekali pada musim perayaan sebegini, memang berlaku peningkatan daripada tempahan barangan tiruan di seluruh negara. Diketahui juga pada musim sebegini, memang akan ada stok semula besar-besaran untuk edaran, termasuk penjualan dalam talian.”

Ariffin berkata, statistik menunjukkan Jalan Petaling, Jalan Chow Kit dan Jalan Kenanga adalah lokasi panas penyimpanan dan penjualan barangan tiruan di ibu negara.

Katanya, hasil risikan mendapati kebanyakan sindiket tidak berminat berpindah ke lokasi lain memandangkan lokasi itu menjadi hab dikenali ramai untuk mendapatkan barangan tiruan, baik dalam kalangan rakyat tempatan mahupun pelancong asing.

“Jadi, itulah yang menjadi sasaran utama kami dan semestinya KPDN akan gunakan segala usaha untuk membanteras kegiatan ini. Bagaimanapun, pengguna perlu sedar, jangan sesekali menggunakan barangan tiruan walaupun murah. Berbelanjalah mengikut kemampuan kita,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *