Dua cedera termasuk anggota bomba dalam kebakaran 4 rumah

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEORANG lelaki dan seorang anggota bomba cedera dalam kebakaran melibatkan empat buah rumah di Kampung Seri Bunian, Pontian, malam tadi.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Johor menerima panggilan kecemasan kebakaran rumah tersebut melalui talian MERS999 pada pukul 11.02 malam.

Koamnder Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pekan Nanas, Penolong Penguasa Bomba Mahadir Mamat berkata, seramai 24 anggota dari BBP Pekan Nanas dan BBP Pontian Baru dikejarkan ke tempat kejadian.

Katanya, mereka dibantu tiga jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

“Kebakaran melibatkan empat buah rumah jenis separuh kekal yang berukuran 16×40 kaki setiap satu.

“Kebakaran telah memusnahkan 80 peratus dari keseluruhan keempat-empat rumah tersebut.

“Dalam kejadian itu seorang mangsa lelaki berusia 28 tahun cedera dan diselamatkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semasa operasi pemadaman seorang anggota BBP Pontian mengalami kecederaan di bahagian kaki akibat terpijak paku.

Katanya, anggota tersebut diberikan rawatan awal dan dihantar ke Hospital Pontian dengan menaiki jentera EMRS untuk rawatan lanjut.

Tambahnya, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan, operasi selesai pada pukul 12.54 tengah malam.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *