PEMBAHAGIAN kerusi dalam Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) sudah selesai antara 85 hingga 90 peratus.
Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, persetujuan itu dicapai selepas rundingan diadakan antara kepimpinan PAS, BERSATU dan GERAKAN.
“Setakat ini hanya tinggal satu atau dua kerusi di setiap negeri yang keputusannya perlu dibuat kepimpinan tertinggi parti.
“Pengagihan kerusi itu mengambil kira pelbagai faktor, kita ada ‘aturan’ tersendiri …ada yang mengenai ‘status quo’ ada yang mengenai jentera mana lebih kuat di satu-satu tempat dan ada calon berpotensi serta berwibawa.
“Paling penting apabila kita bincang dengan rakan Bersatu dan Gerakan, prioriti utama ialah hendak memaksimumkan kemenangan sama ada atas nama Pas atau PN di negeri yang bertanding menggunakan lambang PN dan lambang Pas,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata demikian kepada pemberita selepas Program Tarik Pukat Raya 2023 di Pantai Pulau Kekabu, Marang, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman.
Ahmad Samsuri berkata, selepas seminggu sambutan Aidilfitri, pihaknya dijangka mengadakan perbincangan semula mengenai baki kerusi yang masih belum diputuskan.
Katanya, Terengganu akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum tempoh tamat hari terakhir pada Jun ini dan tarikh itu tidak jauh berbeza dengan Kelantan.
“Mungkin Terengganu akan bubar selepas Kelantan, kita sudah bersedia dengan jentera di seluruh Terengganu bermula dari tahun lalu ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Oleh kerana terdapat pertimbangan lain pada waktu itu, maka kita kemudiankan PRN.
“Agihan kerusi sudah dibincangkan beberapa kali pada peringkat negeri terbabit PRN, ia menunjukkan penyelesaian dalam waktu terdekat,” katanya, lapor Berita Harian.
Mengulas penggunaan lambang parti, beliau berkata, Kelantan dan Terengganu akan menggunakan lambang Pas, manakala empat negeri lagi akan menggunakan lambang PN seperti pada PRU Ke-15 tahun lalu.
Leave a Reply