Pengundi beri respons dingin hasrat UMNO tanding di Permatang Pauh

PARA pengundi memberi respons dingin terhadap hasrat UMNO bertanding di satu daripada tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Permatang Pauh pada pilihan raya negeri (PRN) yang akan berlangsung pertengahan tahun ini.

Respons berkenaan mempunyai kaitan dengan faktor sejarah dasar perkauman parti tersebut dan dakwaan rasuah terhadap pemimpin-pemimpin mereka.

Tiga kerusi yang menjadi sasaran UMNO pada PRN itu ialah di DUN Seberang Jaya, Penanti dan Permatang Pasir.

Pada PRN lalu, PKR menang di Seberang Jaya dan Penanti, manakala Amanah di Permatang Pasir, tetapi Ketua UMNO Permatang Pauh, Datuk Zaidi Said baru-baru ini berkata, Pakatan Harapan (PH) perlu mempertimbangkan satu kerusi diberikan kepada UMNO sebagai tanda muhibah kepada sekutu kerajaan Persekutuan.

Suhaimi Saad, pesara berusia 62 tahun dari Permatang Pasir berkata, penyandang Pakatan Harapan (PH) perlu dibenarkan mempertahankan kerusi mereka pada PRN akan datang.

“Ini kerana, rasuah dalam UMNO yang sebati dengan budayanya. Walaupun UMNO membangunkan kawasannya, wujud ketirisan ketika mereka mengendalikan projek untuk rakyat,” kata penyokong PH itu

Namun katanya, jika kerusi Permatang Pasir diberikan kepada UMNO, beliau akan mengundi calon itu selagi individu itu diluluskan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bebas daripada rasuah.

Pengundi Seberang Jaya, T. Marathamuthu, 72, berkata, dia tidak akan mengundi pada PRN, jika kerusi itu diberikan kepada UMNO.

Pesara itu mendakwa UMNO menyebabkan ’60 tahun kerosakan’ terhadap negara dengan politik perkaumannya, berbeza dengan politik berbilang kaum dan liberal diamalkan DAP serta Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Dia turut merujuk desakan parti itu untuk bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak mendapat pengampunan diraja atas sabitannya atas tuduhan berkaitan rasuah.

“Ramai yang membantah langkah itu, jadi saya tidak nampak kenapa Seberang Jaya perlu diberikan kepada UMNO,” katanya memetik laporan FMT.

Seorang lagi pengundi Seberang Jaya yang mahu dikenali sebagai Navin berkata, UMNO tidak akan dapat memenangi hati pengundi bukan Melayu yang selesa dengan PH.

Katanya, politik perkauman UMNO ‘tidak disenangi’ dan mengkritik parti itu atas diskriminasi kaum dalam pemberian biasiswa pendidikan tinggi, yang menurutnya merugikan ramai belia India berbakat.

Bagi Pengundi Permatang Pasir, Shawal Ramlee, 29, pula tidak terganggu dengan hasrat UMNO bertanding di kawasan itu kerana undiannya berdasarkan kualiti calon, bukannya parti mereka.

“Saya hanya harap sesiapa yang menang dapat menjalankan tugas dengan baik dan berkhidmat kepada rakyat, tanpa mengira mereka dari parti mana.”

Seorang lagi pengundi muda berusia 20-an dari Seberang Jaya, yang mahu dikenali sebagai Jegathis, sependapat dengan Shawal dengan berkata: “Calon sepatutnya orang yang akan mendengar keperluan dan masalah kita. Dan manifesto mereka perlulah praktikal.”


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *