PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan Islam kini berdepan tentangan melalui kefahaman yang salah berkenaan politik, ekonomi, pendidikan dan akhlak.
Menurutnya, pelajaran dan penyiaran yang dibaca dan dilihat, khususnya media baharu dan lain-lain dibuat dalam keadaan orang Islam berada dalam kejahilan murakkab iaitu sedar dirinya jahil dan berasa pandai.
“Alhamdulillah marilah kita panjatkan syukur kepada Allah SWT kerana telah menganugerahkan Ramadan yang sangat bermakna kepada kita semua.
“Pada masa yang sama, kita memperingati kemenangan Islam dalam peperangan Ahzab yang berlaku pada bulan Syawal tahun yang kelima Hijrah Rasulullah SAW.
“Pada zaman kini kita sedang menghadapi bala tentera Ahzab yang menentang Islam di seluruh pelosok dunia,” katanya menerusi Perutusan Aidilfitri Presiden Pas hari ini.
Jelas beliau, serangan bukannya dibuat melalui tentera dan senjata seperti yang berlaku di Palestin, Afghanistan dan Iraq yang telah membunuh manusia, binatang, memusnahkan rumah kediaman, kebun dan ladang, termasuk merosakkan alam sekitar.
“Sedarlah bahawa musuh Islam lebih mudah merampas tanah air kita dan merompak harta kita kerana kita sedang berpecah dan ada yang berperang saudara, sedangkan musuh itu bersatu menentang kita.
“Bagi pihak Pas, saya dengan penuh rasa kesyukuran ingin mengucapkan ‘Selamat Hari Raya Aidilfitri’ kepada seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam, sama ada yang berada di dalam negara mahupun di perantauan,” katanya, lapor Sinar Harian.
Leave a Reply