NASIB 10 adik-beradik di rumah pangsa di Skudai Kanan, Johor Bahru berubah apabila ibu bapa mereka meninggal dunia sekali gus menjadikan sambutan Aidilfitri suram tidak seperti keluarga lain.
Susulan itu adik beradik yang lebih tua terpaksa menggalas tanggungjawab kepada adik-adik dalam meneruskan kehidupan.
Anak sulung, Mohd. Shahrul Efendy Nordin Ahmad, 30, kini memikul tanggungjawab sebagai ‘ayah’ mencari rezeki dengan melakukan dua pekerjaan sebagai pekerja hotel dan pembantu gerai di Pasar Karat.
Sementara, anak keempat Nurin Atikah, 23, yang bekerja sebagai operator pengeluaran kilang, dianggap sebagai ‘ibu’ kerana menguruskan hal rumah seperti makanan, mengemas dan membasuh pakaian.
Menurut Nurin, bapanya, Nordin Ahmad Mahat yang bekerja sebagai kelindan lori meninggal dunia pada tahun 2016 akibat penyakit darah tinggi.
Lebih menyayat hati, ibunya, Rozita Mohd. Fauzi, 45, pula meninggal dunia pada Ramadan ketiga bulan lalu, akibat penyakit tiriod.
“Selepas ayah meninggal dunia, along menjadi tonggak keluarga mencari rezeki kerana ibu tidak bekerja disebabkan masalah kesihatannya. Tanggungjawab along kini lebih besar selepas pemergian ibu.
“Tiga yang masih bersekolah ialah Najwah Maisarah, 17, Nuranis Elena, 12 dan Nurain Afina, 9. Paling bongsu adik tiri, Nur Qisha Amanda pula baru berusia empat tahun,” katanya.
Nurin menjelaskan, along begitu gigih bekerja lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan untuk mencari wang lebih bagi membeli persiapan raya seperti baju, kasut dan kuih muih.
“Abang dah berkahwin iaitu Mohd Rifaieh, 28, adik, Mohd Ridzwan, 27, dan Mohd Afif, 22, yang sudah bekerja turut membantu dan kerap menziarahi kami.
“Adik, Mohd. Amir, 18, pula kini sedang mencari pekerjaan. Dia minat bidang kemahiran terutama pendawaian elektrik,” katanya.
Nurin menjelaskan, Allahyarham ibunya ada berpesan agar menjaga adik-adik dengan baik dan mengutamakan persekolahan mereka.
“Ibu pesan, walau apa pun terjadi, kami adik-beradik jangan terpisah. Saya dan along akan jaga adik sebaiknya.
“Paling sedih, adik bongsu Nur Qisha yang masih ingat ibu dan kerap memanggil ibu,” katanya dalam nada sebak.
Nurin berkata lagi, sambutan 1 Syawal yang kebiasaannya meriah bersama adik-adik pasti akan menjadi suram pada tahun ini kerana masih berduka dengan pemergian ibu.
“Selalunya beberapa hari sebelum raya, saya, along dan adik-adik bertungkus-lumus menyediakan pelbagai persiapan raya.
“Along dan saya akan sibuk kemas rumah. Adik-adik pula bantu ibu siapkan kuih. Kami sekeluarga akan ke pusat beli belah, membeli baju raya sedondon.
“Untuk Syawal kali ini, segala persiapan raya disediakan along dan adik-adik memilih baju raya berwarna biru cair untuk dipakai nanti.
“Saya akan masak hidangan di pagi raya sepertimana ibu masak untuk kami. Antara menunya ialah lodeh, ayam masak merah dan rendang.
“Selepas solat raya, kami semua akan ziarah kubur ayah dan ibu,” katanya.
Dalam pada itu, Nurin memberitahu permohonan bantuan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal sudah dimohon beberapa hari lalu.
Penolong Setiausaha Masjid Jamek Bandar Baru Uda, Alwani Mohd. Sabri memaklumkan, Allahyarham ibu kepada 10 beradik ini merupakan penerima sumbangan barangan keperluan seperti minyak, gula, gandum dan beras.
“Sumbangan yang diterima akan diteruskan untuk meringankan beban mereka sekeluarga,” katanya, lapor Sinar Harian.
Leave a Reply