‘Aidilfitri macam hari biasa bagi kami, sudah 9 tahun tiada baju raya’

DUA adik-beradik yatim piatu dari Kampung Slow Pok Long, Dabong di Kuala Krai menyambut Hari hari Raya Aidilfitri seadanya dan tidak seperti orang lain.

Ini kerana tiada pakaian baharu, apatah lagi hidangan istimewa untuk dinikmati pada hari lebaran yang akan disambut esok.

Sejak kehilangan kedua ibu bapa iaitu Adi Roni dan Yusni Yusof dalam nahas jalan raya pada tahun 2014, dua beradik itu perlu hidup berdikari walaupun usia mereka terlalu ‘mentah’, selain hanya menumpang kasih datuk dan nenek yang sudah tua.

Lebih menyedihkan dua beradik tersebut terpaksa berpisah dengan adik bongsu, Mohd. Aliff Adi, 11, yang kini dijaga oleh keluarga sebelah bapa.

Kesempitan hidup memaksa Mohd. Azwan Abdullah, 16, dan adik perempuannya, Nur Asyikin, 15, melupakan terus keseronokan dan nikmat berhari raya seperti remaja lain seusia mereka.

Nur Asyikin berkata, dia dan abangnya sudah sembilan tahun tidak berasa pakaian baharu.

“Pagi raya kami sama seperti hari lain. Kami sudah biasa dengan keadaan tersebut,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Jelas remaja itu, melihat orang lain bergembira dengan keluarga memaksa mereka hanya berada di rumah.

Ujar Nur Asyikin, ketika itu rindu terhadap ibu dan ayah mereka mula ‘membuak-buak’ sehingga menitiskan air mata.

Tambahnya, mereka perlu tabah dan sedar diri kerana dengan pendapatan abangnya sebanyak RM50 seminggu sebagai penoreh getah hanya cukup untuk berbelanja makan.

“Setakat ini kami tidak pernah kelaparan, walaupun adakalanya perlu mencatu makanan,” katanya.

Nur Asyikin memberitahu, dia dan Mohd. Azwan juga sudah lama tidak bersekolah.

Dia berkata, bukan tidak mahu namun kesempitan hidup memaksa mereka berbuat demikian.

Tambahnya, pada masa sama mereka tidak mahu menyusahkan datuk serta nenek, Yusof Muda, 61, dan Roslah Aziz, 60, yang juga hidup dalam kesusahan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *