Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
POLIS sudah memanggil dua individu untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan kes penemuan rangka mayat wanita yang ditemui mereput dalam sebuah bagasi di kios perhentian bas terbiar berhadapan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kulai, Rabu lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dua individu tersebut merupakan lelaki yang memberikan maklumat dan seorang lagi individu yang membuat laporan polis berkenaan penemuan rangka mayat berkenaan.
Beliau memberitahu, itu merupakan perkembangan terkini siasatan kes tersebut setakat ini.
“Pada masa sama kita juga sedang menunggu laporan akhir bedah siasat daripada pihak hospital. Ini perlukan masa dan sekarang ini kita masih tidak dapat petunjuk yang lebih untuk memudahkan perjalanan siasatan ini.
“Ini kerana cap jari mangsa tiada kerana kita tidak dapat. Seperti yang saya katakan sebelum ini tiada kesan suntikan bacillus calmette-guerin (BCG) ditemukan pada mayat itu yang dipercayai bukan warga tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor Tahun 2023 di Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil di Johor Bahru malam tadi.
Pada Rabu lalu, satu orang awam menemukan rangka mayat seorang wanita dalam sebuah beg bagasi di perhentian bas berkenaan dalam keadaan telah mereput lebih 50 peratus selain sudah berulat.
Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow, mayat wanita berkenaan dianggarkan berusia 25 tahun ke atas dan telah
meninggal dunia sejak dua minggu lepas, selain terdapat kecederaan di kepala.
Sementara itu, Kamarul Zaman berkata, 90 peratus atau kira-kira 8,000 sehingga 9,000 pegawai dan anggota polis akan bertugas sepanjang sambutan Hari Raya Aidilfitri di negeri ini.
Katanya, penugasan anggota terbabit akan dibahagikan kepada tiga syif sehari bagi memastikan trafik berjalan lancar di semua tempat.
Jelasnya, ini juga bagi memastikan kelancaran kemasukan lebih dua juta kenderaan ke Johor termasuk menerusi laluan darat antara Malaysia dan Singapura di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).
Beliau memberitahu, seramai 326 anggota dan pegawai akan ditempatkan di BSI di sini manakala 30 lagi di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri dan mereka juga akan mendapat pertolongan polis bantuan.
“Kita menempatkan anggota yang lebih ramai di BSI kerana menjangkakan kesesakan luar biasa manakala di KSAB dijangka tidak terlalu banyak kenderaan masuk atau keluar ke Johor,” katanya.
Selain itu kata Kamarul Zaman, satu pasukan khas daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) akan ditempatkan di semua 13 daerah di negeri ini sebagai persediaan jika berlaku kemalangan atau kegiatan jenayah.
“Kita juga akan adakan sekatan jalan raya (SJR) di 24 lokasi pada sebelah malam. Jika SJR itu mengganggu kelancaran trafik, polis akan
pindahkan SJR tersebut ke tempat lain supaya tiada kesesakan,” katanya.
Leave a Reply