Nasihat bekas PM: Kalau nak gaduh jangan di ‘halaman rumah’

BEKAS bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kenyataannya mengenai hubungan di antara UMNO dan DAP baru-baru ini dibuat atas sifatnya sebagai ‘orang tua’ yang tidak mahu melihat pertentangan di antara parti terbabit didedahkan kepada umum

Ismail Sabri berkata, tidak wajar kedua-dua pihak menzahirkan rasa tidak puas hati masing-masing menerusi media massa dan disaksikan orang ramai.

“Bagi saya kita membentuk kerajaan secara bersama, jadi kalau nak komen, nak gaduh sesama sendiri pun tak payahlah buat melalui media.

“Orang tua-tua kata, kalau suami isteri nak bergaduh, jangan bergaduh di halaman rumah, (nanti) jiran dengar, jiran nampak dan orang lalu-lalang pun nampak.

“Kalau nak bergaduh, bergaduhlah dalam bilik atau dalam rumah dan selesaikan. Baru orang tak tau apa masalah kita,” katanya memetik laporan MalaysiaKini.

Terdahulu kenyataan Ismail Sabri yang mengandaikan hubungan parti dalam kerajaan sekarang khususnya melibatkan UMNO dan DAP seperti sebuah perkahwinan paksa.

Ini merujuk kepada tindakan sesetengah pemimpin parti itu saling membalas kenyataan secara terbuka, termasuk membabitkan isu cubaan UMNO memohon agar bekas Presiden mereka, Datuk Seri Najib Razak, diberi pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Antara pemuka parti yang menonjol membuat kenyataan ialah veteran DAP, Lim Kit Siang, Setiausaha Agung parti itu Anthony Loke, serta anggota Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi.

Ismail Sabri berkata pandangan yang diberikannya itu adalah sama saja dengan pendapat diberikan oleh pihak lain yang melihat perseteruan di antara pemimpin UMNO dan DAP.

Kata ahli parlimen Bera itu lagi memang sejak dulu lagi UMNO tidak pernah bekerjasama dengan DAP namun keadaan itu tiba-tiba berubah selepas Pilihan Raya Umum ke-15 pada tahun lalu.

Justeru katanya dalam tempoh hanya beberapa bulan sudah berlaku tindakan saling menyerang antara satu sama lain.

“Bagi saya sebagai orang tua saya nampak benda tak elok… (justeru) elok kita tegur maka saya tegurlah.

“Tiba-tiba teguran saya tu mendapat kritikan (balik) maknanya tak boleh ditegurlah,” katanya.

Beliau yang pernah menjadi Naib Presiden UMNO sebelum ini menambah, jika ada sesuatu yang salah maka ia boleh diperbetulkan tanpa melibatkan perseteruan secara terbuka.

Pada pendapatnya, kata Ismail Sabri, keutamaan para pemimpin parti kerajaan sekarang ialah memberi fokus sepenuhnya kepada isu persediaan menghadapi pilihan raya negeri (PRN), bukannya bertelagah.

“Ada saja isu tak puas hati, bergaduh dalam surat khabar (media massa).

“Saya tegur secara ikhlas supaya tak timbul pergaduhan sesama sendiri dalam media,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *