Jho Low 1MDB

Laporan dakwa M’sia sedang usahakan perjanjian bawa balik Jho Low

PEGAWAI kerajaan Malaysia sedang mengusahakan perjanjian dengan China yang akan menyaksikan ahli perniagaan yang menjadi buruan, Low Taek Jho dihantar pulang ke Malaysia, menurut bekas wartawan Wall Street Journal, Bradley Hope.

Dia mendakwa beberapa sumber berkata, usaha itu sedang ‘didebatkan secara hangat’ oleh kerajaan Malaysia susulan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China bulan lepas.

“Perjanjian sedemikian melibatkan penghapusan jelas mengenai penglibatan China dalam perjanjian yang distrukturkan oleh Jho Low untuk menutup penipuan 1MDB, percubaan China untuk menguatkan kerjaya politik Datuk Seri Najib Razak (termasuk dalam sokongan tunai), menyusun semula projek Belt and Road Initiative di Malaysia untuk menjadi lebih ekonomi dan bermanfaat kepada keperluan infrastruktur Malaysia dan menyerahkan Jho Low (dan semua rampasan rompakannya).

“Ini akan menjadi sesuatu yang besar, menarik dan menandakan berakhirnya cerita utama skandal 1MDB sejak penubuhannya pada 2009 hingga kejatuhannya akibat skandal pada 2015 dan segala pesta dan perbelanjaan yang tidak masuk akal sehingga 2023.

“Ini juga mungkin bermakna pemulihan tunai yang besar bagi Malaysia, kerana (Low) – menurut anggaran kami dan sumber yang telah mengikuti kes itu dengan rapat masih mengawal simpanan tunai bernilai berbilion dolar,” tulisnya, lapor MalaysiaKini.

Dakwaan itu diterbitkan dalam edisi buletin Whale Hunting hari ini, yang dikendalikannya bersama rakan wartawan Tom Wright.

Kedua-duanya adalah pengarang bersama buku Billion Dollar Whale yang mengupas mengenai peranan Low dalam skandal 1MDB.

China sebelum ini menafikan berkali-kali bahawa mereka memberikan perlindungan kepada Jho Low, tetapi laporan bahawa dia bersembunyi di negara itu masih berterusan.

Merumitkan keadaan, Malaysia tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan China.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *