Oleh RIZQI ZABIDI
ORANG ramai yang menunaikan solat sunat Aidilfitri di setiap masjid mahu pun surau dalam negeri ini pada 1 Syawal nanti digalakkan untuk memakai pelitup muka.
Menurut Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK), Datuk Abd. Ghani Zainudin, pihaknya amat menggalakkan seluruh umat Islam berbuat demikian atas nasihat dan pandangan dari Jabatan Kesihatan Negeri Kedah.
Katanya, nasihat itu selaras dengan saranan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan penularan Covid-19 dapat dikawal dan dicegah.
“Covid-19 belum reda sepenuhnya bahkan masih berlaku peningkatan kes positif di seluruh negara. Dengan mengambil kira situasi terkini, maka sewajarnya keadaan ini dipandang serius semua pihak.
“Selain itu, kontak sosial tentunya akan bertambah apabila umat Islam di seluruh pelusuk negara pulang ke kampung dari pelbagai lokasi dan tempat.
“Sehubungan itu, JHEAIK dengan nasihat dan pandangan dari Jabatan Kesihatan Negeri Kedah amat menggalakkan orang ramai agar memakai pelitup muka ketika menunaikan solat sunat Aidilfitri di mana-mana masjid dan surau seluruh Kedah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau dalam pada itu turut menasihatkan agar semua pihak menjadi prihatin dan mengambil langkah sewajarnya bagi membasmi wabak penyakit ketika menyambut hari raya serta penganjuran rumah terbuka.
“Semoga usaha ini dapat membantu kerajaan dalam membanteras wabak serta menamatkan rantaian virus Covid-19 dari merebak.
“Mudah-mudahan seluruh umat Islam di Malaysia dan Kedah dipelihara dari musibah dan dapat meraikan hari raya dengan penuh ketakwaan, sejahtera dan aman damai,” katanya.
Leave a Reply