DAP, PH akan lebih rugi dalam pakatan dengan Umno, kata penganalisis

DAP dan Pakatan Harapan (PH) akan lebih rugi dalam pakatan mereka bersama UMNO, terutama dalam berdepan pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Pandangan itu dilontarkan seorang penganalisis politik, Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia.

“Dakwaan oleh pemimpin UMNO yang mengatakan bahawa parti itu akan berdepan kesukaran untuk meraih undi Melayu kerana hubungannya dengan DAP adalah tidak tepat.

“Sebaliknya, hubungan dengan UMNO yang akan menjatuhkan PH dan DAP atau sekurang-kurangnya menghakis sokongan pengundi terhadap mereka,” katanya memetik laporan FMT.

Fauzi berkata agenda reformis PH adalah bertentangan dengan agenda konservatif UMNO.

Beliau memetik usaha UMNO memohon pengampunan diraja untuk bekas presidennya yang dipenjarakan, Najib Razak, serta pelantikan beberapa pemimpin parti baru-baru ini ke beberapa jawatan penting.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Waji Dusuki dilantik sebagai pengerusi Mara yang baharu, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad sebagai Pengerusi Risda, manakala Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, dilantik semula sebagai Pengerusi Felcra.

Fauzi berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh membenarkan kehendak UMNO mengatasi dorongan reformis kerajaan perpaduan, terutamanya apabila orang ramai telah mengundi PH untuk melakukan reformasi.

Beliau berkata, UMNO perlu diletakkan di tempatnya, hanya sebagai ‘ahli junior’ kerajaan perpaduan.

“Ia bukan ‘urusan seperti biasa’ seperti ketika mereka menerajui kerajaan,” katanya.

Jumaat lalu, Ahli MKT UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed memberitahu Utusan Malaysia bahawa Umno berdepan cabaran untuk meraih semula sokongan orang Melayu, dan hubungannya dengan DAP tidak membantu.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab dakwaan Naib Pengerusi DAP Perak, Abdul Aziz Bari bahawa sokongan Melayu telah beralih daripada Umno kepada Perikatan Nasional.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata UMNO dan DAP akan tewas jika mereka tidak mengisytiharkan ‘gencatan senjata’.

“Jika perbezaan antara UMNO dan DAP tidak diselesaikan segera, kedua-dua pihak akan rugi,” katanya sambil menambah DAP juga memerlukan sokongan di kawasan yang mempunyai bilangan pengundi Melayu yang besar.

Beliau berkata, pemimpin DAP perlu lebih berhati-hati dengan kenyataan mereka supaya tidak “menembak kaki sendiri”.

“Mereka harus sedar bahawa, jika berterusan diprovokasi, tidak mustahil akar umbi UMNO menolak DAP atau bertindak balas dengan lebih agresif,” katanya.

Awang Azman juga berkata, tindakan ahli MKT UMNO, Datuk Dr. Puad Zarkashi yang menyerang veteran DAP, Lim Kit Siang baru-baru ini berhubung kenyataannya mengenai usaha UMNO mendapatkan pengampunan diraja untuk Najib Razak hanyalah permulaan.

“Jika DAP tidak berhati-hati, lebih ramai ahli UMNO akan ‘bertindak balas’ dan ini tidak baik kepada kerajaan perpaduan,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *