PENYANYI rap The Fugees, Prakazrel “Pras” Michel dalam keterangan pembelaannya berkata, dia menerima USD20 juta daripada Low Taek Jho atau Jho Low untuk membantu mengatur sesi bergambar untuk ahli perniagaan Malaysia itu dengan bekas presiden, Barack Obama.
Michel berdepan dakwaan konspirasi jenayah, melobi pengaruh asing dan mengenakan bayaran kempen kerana dipercayai berkomplot dengan Low untuk cuba mempengaruhi pentadbiran Obama dan bekas presiden, Donald Trump.
Lapor agensi berita Reuters yang dipetik FMT, di depan juri di Washington, pemenang Grammy itu berkata, Low yang kini menjadi buruan atas tuduhan menyeleweng USD4.5 bilion daripada 1MDB, tidak mengarahkannya menggunakan wang bergambar itu untuk membuat sumbangan kempen.
Michel berkata, dia menggunakan sebahagian wang itu untuk membawa tiga rakannya menghadiri majlis kutipan derma untuk Obama dengan bayaran USD40,000 setiap seorang dan dia tidak tahu tindakan itu tidak wajar.
“Apabila anda menerima wang daripada Jho Low, anda menggunakannya untuk membuat sumbangan politik,” tanya Pendakwa Raya Persekutuan, John Keller.
“Tidak. Sebaik saja dia beri saya wang itu, terpulang kepada budi bicara saya bagaimana membelanjakannya kerana itu wang saya,” kata Michel.
Dia menyifatkan dana daripada Low itu sebagai “wang percuma”.
Warga asing dilarang menderma kepada kempen pilihan raya AS dan ia juga melanggar undang-undang untuk membayar orang lain menyumbang kepada kempen itu.
Michel dituduh bersubahat dengan Low dalam tiga skim, dengan pendakwa raya mendakwa dia dibayar berjuta-juta dolar.
Dalam pertuduhan pertama, pendakwa mendakwa Michel melanggar undang-undang pilihan raya persekutuan dengan menyalurkan kira-kira USD2 juta daripada Low ke tabung kempen Obama 2012 dan menyembunyikan sumber dana itu atas nama orang lain.
Dia juga dituduh cuba meyakinkan Jabatan Kehakiman era Trump untuk menggugurkan siasatan sivil dan jenayah terhadap Low berhubung skandal 1MDB, selain cuba melobi AS bagi pihak China untuk menghantar ahli perniagaan China, Guo Wengui pulang ke negaranya.
Leave a Reply