Datuk Ahmad Yahaya

Islam wacana sebenar perpaduan masyarakat Melayu

Oleh DATUK AHMAD YAHAYA

DEWAN Ulamak PAS Pusat (DUPP) ingin menegaskan bahawa Islam adalah wacana sebenar perpaduan masyarakat Melayu di negara ini. Saranan bersatu padu telah menjadi mesej utama yang disampaikan melalui Kalamullah dan ia seharusnya didukung dengan sepenuh jiwa oleh masyarakat Melayu.

Islam telah mula berkembang ke Nusantara sejak awal abad pertama Masihi dengan pemerintahan Islam Perlak mulai dibangunkan pada abad kesembilan Masihi. Kemudian, ia terus berkembang dengan kemunculan Kerajaan Islam yang lain termasuklah Kerajaan Kedah selain rekod pelaksanaan syariat melalui Batu Bersurat di Terengganu dan dinar emas di Kelantan.

Perkembangan Islam di rantau ini melahirkan Empayar Kesultanan Melayu Melaka menjelang kurun ke-15. Perjalanan panjang sejarah kedatangan Islam ini telah membentuk norma dan identiti masyarakat Melayu yang berasaskan kepada agama Islam. 

Oleh itu, hubung kait Islam-Melayu sebagai ‘ethno-religious’ digarap melalui Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan iaitu pada tafsiran ‘orang Melayu’ sebagai ‘seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap Bahasa Melayu, dan menurut adat Melayu’. 

Tanpa mengenepikan faktor kesejagatan Islam serta tafsiran ‘orang Melayu’ yang sebenar dalam peruntukan perundangan tertinggi negara ini, hubungan Melayu dan Islam sememangnya sinonim. Kekuatan orang Melayu yang luntur dan terhakis hari ini adalah kerana jauhnya Islam dalam penghayatan dan amalan dalam masyarakatnya. 

Oleh itu, kembali kepada ajaran Islam adalah wacana yang seharusnya menjadi nadi utama kepada perpaduan masyarakat Melayu di negara ini kerana ikatan ‘ethno-religious’ tadi. Walaupun bukan bermaksud memeluk agama Islam adalah menjadi orang Melayu, namun, inilah tali yang mengikat masyarakat Melayu dengan aqidahnya yang jitu. 

Bersempena bulan Ramadan yang masih berbaki ini, DUPP ingin menyeru masyarakat Melayu-Islam khususnya supaya mengikat tali penyatuan atas nama Islam. Kita seharusnya meletakkan sepenuhnya keyakinan terhadap ajaran Islam serta bersatu padu di atas jalan yang dibentangkan di hadapan. 

Semoga dengan kekuatan ini akan tersingkap semula era kegemilangan masyarakat Melayu yang pernah memahat nama di peringkat antarabangsa suatu ketika dahulu. Itulah Islam yang menzahirkan kekuatan umatnya.

Penulis ialah Ketua Dewan Ulamak Pas


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *