SYARIKAT barangan kemas Lubnan Global Royalty Trading SAL memfailkan saman bernilai RM67.461 juta terhadap Datin Seri Rosmah Mansor, isteri bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Menurut laporan MalaysiaKini, firma itu meminta pemulangan barang kemas yang didakwa dihantar kepada isteri bekas perdana menteri itu untuk tujuan pameran.
Sebagai ganti, firma itu meminta kos barang kemas itu pada RM67,461, 027 (bersamaan dengan AS$14,567, 270).
Kenyataan tuntutan itu difailkan bagi pihak Global Royalty oleh firma guaman David Gurupatham and Koay.
Pada 2019, firma itu memfailkan saman untuk 44 barang kemas bernilai AS$14.79 juta atau hampir RM60 juta tetapi kemudian menarik balik saman tersebut.
Dalam saman asalnya, Global Royalty mendakwa pada 10 Feb 2018, firma itu menghantar 44 barang kemas, termasuk rantai berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara, masing-masing bernilai antara AS$124,000 (RM519,183) dan AS$925,000 (RM3. 8 juta) kepada defendan, yang diserahkan sendiri melalui dua ejennya.
Syarikat itu berkata Rosmah telah mengakui penerimaan barangan kemas tersebut.
Syarikat itu mendakwa Rosmah, menerusi surat bertarikh 22 Mei 2018, turut mengesahkan dan mengakui penerimaan barang kemas itu tetapi menyatakan kesemua barang kemas itu tidak lagi berada dalam simpanannya kerana disita dan diletakkan di bawah jagaan pihak berkuasa.
Leave a Reply