Serangan terhadap Sanusi disebabkan Abang Long takut projek di Kedah

Oleh RIZQI ZABIDI

KETAKUTAN ‘Abang Long’ yang berselindung di belakang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap dua perkara mahu dilaksanakan Kedah didakwa menjadi punca mengapa Menteri Besar negeri itu, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor diserang bertubi-tubi kebelakangan ini dari segenap sudut.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penerangan Komunikasi dan Multimedia Negeri, Datuk Wan Romani Wan Salin, ‘Abang Long’ tersebut sebenarnya bimbang terhadap pelaksanaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) serta tuntutan caj air mentah Kedah terhadap Pulau Pinang.

“Dua projek besar nak dilaksanakan di Kedah ini amat menakutkan mereka iaitu pertamanya Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dan keduanya tuntutan Kedah terhadap caj air mentah ke Pulau Pinang.

“Inilah dua perkara yang menyebabkan musuh politik kita sering menyerang kerajaan negeri Kedah, demi menimbulkan keburukan serta naratif tidak baik terhadap Menteri Beasr. Mereka serang sungguh-sungguh sampaikan Menteri turun ke Kedah pun tak panggil Exco bersama.

“Mereka nak timbulkan naratif negeri lain tak ada masalah kecuali Kedah. Apatah lagi Muhammad Sanusi seorang yang hebat dan selalu ke depan, maka musuh jadi tak senang,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Pengamal Media, Bina Darulaman Berhad (BDB) dan Anak-Anak Yatim di Dewan Seri Mentaloon di Alor Setar, malam tadi.

Mengulas lanjut katanya, serangan dengan menggunakan pelbagai ‘peluru’ dari segala sudut itu bagaimanapun tidak akan menjejaskan visi kerajaan negeri untuk melaksanakan Pelan Pembangunan Kedah 2035 dengan diterajui Menteri Besar.

“Kedah ini kerajaan berdaulat dan dipimpin Sultan. Sebab itu saya yakin mana-mana musuh yang menyerang Kedah, takkan berjaya,” katanya.

Dalam sidang akhbar selepas itu Wan Romani berkata, serangan dilancarkan terhada Muhammad Sanusi juga disebabkan kedudukannya selaku Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) dan Pas Pusat.

“Beliau ibarat seorang komander jadi musuh terpaksa serang habis-habisan. Tetapi ibarat lumrah spring, makin ditekan makin tinggi lompatnya.

“Mereka cuba timbulkan naratif kononnya disebabkan Menteri Besarlah Exco dan negeri ini dianak tirikan. Sebagai kerajaan berdaulat sepatutnya mereka kena hormatilah negeri ini dan perkara sebegini tak pernah berlaku dalam sejarah,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *