Oleh BADLISHAH MAT
PAS Kedah menegaskan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor akan menjadi ‘poster boy’ dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak dan kekal menerajui pentadbiran negeri Kedah jika Perikatan Nasional (PN) menang.
Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Ahmad Yahaya berkata, sokongan berterusan daripada rakyat negeri berkenaan akan menjadi pemangkin kepada kejayaan PN di Kedah khususnya.
“Kita akan terus pertahan kepimpinan Muhammad Sanusi dalam menerajui pentadbiran Negeri Kedah.
“Ketegasan beliau menegakkan kebenaran menjadi asbab tekanan politik yang berterusan diarahkan kepada beliau ketika ini.
“Pas Kedah sedar Pakatan Harapan (PH) tidak mempunyai modal untuk menjatuhkan pengaruh PN selepas mendapat dokongan kuat masyarakat Melayu Islam dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.
“Oleh itu, langkah ‘character assassination’ terhadap Muhammad Sanusi dilaksanakan kerana beliau juga menjadi faktor penting kemenangan PN khususnya di Kedah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Ahmad, pihaknya juga yakin segala penjalanan pentadbiran dan pelaksanaan dasar negeri Kedah berada dalam landasan terbaik seiring dengan Pelan Pembangunan Kedah 2035.
Malah beliau berkata, hasrat The Greater Kedah yang digagaskan Muhammad Sanusi sendiri tidak mustahil akan direalisasikan kelak oleh kerajaan negeri.
“Tekanan politik yang dihempapkan ke atas kerajaan negeri Kedah menunjukkan Kerajaan Persekutuan membelakangi semangat Madani dalam erti kata sebenar. Ia juga mewajahkan sikap federalisme tempang yang mengundurkan negara ke era politik lapuk.
“Bukankah berulang kali kita mengingatkan Kerajaan Persekutuan supaya mengekalkan profesionalisme dalam hubungan federalisme di antara Persekutuan-Negeri,” katanya.
Malangnya kata Ahmad, Kerajaan Persekutuan tetap melaksanakan federalisme terpilih kerana dendam politik serta pembunuhan karakter terhadap Muhammad Sanusi.
Justeru tegasnya, sokongan berterusan daripada rakyat Kedah terhadap PN di negeri itu turut tidak mustahil dalam misi memberikan impak langsung kepada negeri lain yang ditadbir oleh PH seperti Pulau Pinang.
Leave a Reply