Oleh BADLISHAH MAT
MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mempunyai asas yang jelas untuk tegas mempertahan hak-hak negeri termasuk projek bakal memajukan Kedah yang seterusnya membuka ruang pekerjaan kepada anak-anak Kedah.
Ketua Dewan Muslimat Pas Negeri Kedah (DMPNK), Datuk Siti Ashah Ghazali berkata, mereka berbangga dengan kepimpinan Muhammad Sanusi yang cemerlang serta tidak tunduk kepada pencabulan semangat federalisme.
Katanya, DMPNK turut melihat tindak tanduk Kerajaan Persekutuan pada hari ini yang melaksanakan federalisme terpilih dan gagal bersikap profesional dalam hubungan antara Kerajaan Pusat dan negeri.
“Hak negeri ini diremehkan dengan alasan-alasan yang tidak masuk akal. Malah, bukan lagi satu rahsia bahawa satu demi satu majlis melibatkan kerajaan cuba menidakkan kehadiran Menteri Besar.
“DMPNK yakin dan percaya rakyat hari ini semakin bijak menilai. Kebijaksanaan ini terserlah dengan pilihan memberikan majoriti undi yang besar kepada Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15, baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Siti Ashah, Kerajaan Persekutuan sepatutnya fokus untuk menyelesaikan masalah rakyat dan bukannya tidak henti-henti bermain politik.
Katanya, luahan keresahan rakyat melimpahi media sosial demi untuk mendapatkan perhatian dan tindakan daripada kerajaan.
“Namun, malangnya bukan solusi yang diberikan, tetapi aksi politik yang di luar batas profesionalisme.
“Maka, DMPNK terus menyokong teguh pentadbiran Menteri Besar Kedah dan yakin rakyat pasti tidak akan membiarkan negara ini diatur secara semborono dengan amalan menyimpang daripada prinsip tatakelola yang dilaung saban dekad,” katanya.
Leave a Reply