SEORANG warga Myanmar maut selepas jet ski ditunggangnya terbabas sebelum terlanggar sebuah bot di tepi laut dalam nahas di kawasan pantai belakang sebuah hotel di Batu Ferringhi, dekat Georgetown, semalam.
Pemangku Ketua Polis Timur Laut, V Saravanan, berkata dalam kejadian 4.45 petang itu, Tun Lin Aung, 22, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di dagu dan leher.
“Hasil siasatan awal mendapati lelaki itu bekerja kilang di Kuala Lumpur dan datang ke Batu Ferringhi di Georgetown untuk menghadiri pesta Songkran bersama rakan senegaranya, sebelum mangsa menyewa sebuah jet ski di kawasan pantai dengan harga RM150.
“Lelaki itu menunggang bersendirian dan kemudiannya dipercayai terbabas sebelum terlanggar sebuah bot yang diletakkan di tepi laut di kawasan pantai tersebut.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan di dagu dan leher, dia ditarik keluar dari laut oleh beberapa saksi yang nampak kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Saravanan berkata, pemeriksaan pasukan perubatan mendapati mangsa meninggal dunia akibat kemalangan itu dan mayatnya dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat hari ini.
Katanya, hasil siasatan lanjut mendapati mangsa dipercayai dalam keadaan mabuk ketika menyewa jet ski itu dan perkara tersebut turut diakui rakan senegaranya.
Menurutnya, pemeriksaan juga mendapati lelaki itu bekerja di negara ini selama tiga tahun dan mempunyai dokumen perjalanan diri serta permit kerja sah.
“Siasatan lanjut masih dijalankan, termasuk merekodkan keterangan beberapa saksi dan rakan mangsa bagi melengkapkan siasatan,” katanya.
Leave a Reply