Wajarkah UMNO terus berada dalam kerajaan perpaduan

Oleh MOHD AZAM MOHD ATAN

Itulah hakikat yang perlu ditelan apabila kerjasama parti politik dibuat atas dasar kepentingan peribadi dan bukannya kerana prinsip perjuangan yang jelas untuk membela rakyat.

Kerjasama yang dibuat secara tergesa-gesa kerana mahu meraih kuasa hingga membelakangkan pegangan parti dan pandangan rakyat itu juga tidak akan pernah aman sampai bila-bila.

Begitulah yang berlaku apabila UMNO menyertai kerajaan perpaduan yang di dalam itu ada parti DAP yang sejak sekian lama diketahui adalah seteru politik yang sering diratib-ratib sebagai musuh.

Maka, sejak awal kerjasama selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), akan ada saja perselisihan antara pemimpin UMNO dan DAP.

Walaupun cuba didamaikan oleh pemimpin PKR, ketegangan antara pemimpin UMNO/DAP (UMDAP) tidak akan mampu dihentikan.

Paling terkini, pemimpin DAP tidak mampu berdiam diri apabila UMNO beria-ia mahu memperjuangkan pengampunan diraja membabitkan pimpinan kesayangan mereka iaitu bekas Perdana Menteri, Najib Razak yang telah disabitkan bersalah kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International.

Najib kini belum cukup setahun menjalani hukuman 12 tahun di penjara Kajang dan denda RM210 juta yang dikenakan terhadapnya.

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang memberi amaran kerajaan perpaduan boleh runtuh sekiranya Najib diberikan pengampunan diraja.

Kata Kit Siang, pengampunan Najib tidak akan menguntungkan UMNO sama sekali dan ia dibidas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Puad Zarkashi yang menyifatkan DAP takut UMNO makin kuat melalui gabungan Najib dan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi.

Puad turut menyalahkan DAP sebagai punca kepada kerajaan PH yang hanya mampu bertahan selama 22 bulan di bawah pimpinan Dr Mahathir sebelum ini.

Penulis, seperti juga pemerhati politik lain melihat isu pengampunan diraja Najib akan memberi kesan besar kepada kerjasama parti politik dalam kerajaan perpaduan.

Langkah terbaik yang boleh dipertimbangkan ialah melihat keperluan penyertaan UMNO kerana jika tanpa UMNO pun, kerajaan Anwar sudah memiliki majoriti 118 kerusi.

Seperti yang dinyatakan Khairy Jamaludin, Anwar sebenarnya boleh menolak permainan politik Ahmad Zahid dan penulis sendiri melihat ia adalah keputusan tepat.

Adalah sesuatu yang merugikan bagi kerajaan perpaduan apabila UMNO yang diketahui dengan segala liabiliti dan jumlah kerusi Parlimen yang kecil secara berterusan mengheret parti-parti lain dalam gabungan kerajaan dengan masalah dihadapi mereka.

Itu belum campur tindakan-tindakan UMNO melantik pimpinan mereka mengetuai GLC yang terpaksa diteliti semula kerana dibuat tanpa perbincangan.

Contohnya pengumuman Ahmad Zahid melantik Azeez Rahim sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Keda (Keda) tetapi selepas itu Anwar terpaksa membuat kenyataan menilai semula pelantikan itu.

Jika pada awal pembentukan kerajaan, PH mungkin memerlukan UMNO tetapi kini setelah mendapat sokongan daripada parti dari Sabah dan Sarawak ditambah dengan segala tindak-tanduk UMNO, maka keberadaan UMNO dalam gabungan kerajaan perpaduan wajar diteliti semula.

Nasihat daripada pimpinan PKR terutamanya Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim perlu dipertimbangkan dengan mendalam kerana ia melibatkan masa depan gabungan-gabungan parti dalam PH.

Seperti dinyatakan pemimpin senior PKR itu, malapetaka besar akan menanti kerajaan sekarang jika Najib mendapat pengampunan dan Ahmad Zahid pula digugurkan 47 pertuduhan yang dihadapinya ketika ini.

Katanya, gabungan politik itu akan ditolak rakyat dalam enam PRN dalam masa terdekat dan dinyahkan oleh rakyat dalam PRU akan datang.

Segalanya terletak di tangan Anwar dan pemimpin utama DAP sama ada mereka mahu menyelamatkan PH atau tunduk kepada permainan politik UMNO.

Sama-sama kita tunggu dan lihat.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *