BEKAS menteri pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong kecewa apabila harga tiket penerbangan untuk kelas ekonomi menjelang musim Hari Raya Aidilfitri ini melambung mencecah lebih RM3,000 sehala.
Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata, hasil semakannya mendapati harga tiket penerbangan sehala dari Kuala Lumpur ke Tawau pada 20 April ini bagi kelas ekonomi menjangkau RM3,138.
Tegasnya, harga tiket penerbangan yang mahal itu amat mengejutkan sekali gus mengecewakan orang ramai khususnya pengguna pengangkutan awam.
“Macam mana keluarga B40 dan M40 khususnya warga Tawau di perantauan nak beraya tahun ini? Pada masa ini bukan waktu berlakunya pandemik COVID-19!
“Sektor penerbangan beransur pulih, kebanyakan pesawat tidak lagi didaratkan (grounded) seperti waktu pandemik,” katanya dalam ciapan di Twitter.
Mengulas lanjut, Ka Siong menegaskan syarikat penerbangan tiada lagi alasan untuk tidak menambah frekuensi selagi ada kemampuan.
Malah kata beliau, tiada lagi sekatan bebanan penumpang sebanyak 50 peratus semasa COVID-19 yang memberi justifikasi harga tambang penerbangan melonjak tinggi sebelum ini.
Katanya, kekerapan penerbangan juga tidak lagi dikawal oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah atau Sarawak selain wujud syarikat penerbangan tambang murah baharu, MYAirline.
“Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) pun sudah meluluskan banyak penerbangan sama seperti zaman pra COVID-19. Dijangkakan jawapan standard kerajaan adalah “dasar kerajaan tidak mengawal tambang penerbangan kerana mekanisme harga dinamik.
“Apa pun, tidak kira zaman siapa memerintah, acap kali Kementerian Pengangkutan menjawab sebegitu, rakyat sukar menerima jawapan standard terbabit. Kepada syarikat penerbangan, tolonglah rakyat,” katanya.
Ka Siong berkata, beliau juga pernah dikritik teruk ketika menjawat jawatan Menteri Pengangkutan sebelum ini kerana harga penerbangan yang melambung tinggi.
“Tahun lalu ketika pintu sempadan baru saja dibuka pada 1 April, tambang ketika itu melebihi RM1,000 kerana tak banyak pesawat boleh beroperasi, mereka perlu melalui proses MRO (penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih) untuk tiga bulan sebelum dibenarkan beroperasi demi keselamatan.
“Pada masa itu, saya selaku Menteri Pengangkutan serta kerajaan dikritik teruk. Saya berdepan situasi terbabit dengan sebaik mungkin. Sekarang, bukan lagi isu sekatan pergerakan akibat COVID-19 atau MRO, tapi harga tambang dari Kuala Lumpur ke Tawau bernilai RM3,138 seorang,” katanya.
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook sebelum ini berkata kerajaan tidak boleh menetapkan harga siling tiket penerbangan domestik pada musim perayaan kerana ia mungkin menjejaskan industri pengangkutan udara.
Sebaliknya, beliau menggalakkan syarikat penerbangan untuk menambah kapasiti penerbangan terutama ketika musim perayaan dan cuti sekolah.
Leave a Reply