Bekas ahli parlimen India, abang ditembak mati ketika siaran langsung TV

BEKAS ahli Parlimen India yang disabitkan dengan kesalahan menculik ditembak mati bersama abangnya ketika siaran langsung di televisyen.

Dalam kejadian di Prayagraj, yang juga dikenali sebagai Allahabad di Uttar Pradesh malam tadi, Atiq Ahmed, yang diiring polis, sedang bercakap dengan beberapa wartawan sebelum tembakan dilepaskan penyerang ke arah kepalanya dari jarak dekat.

Lapor BBC, susulan serangan itu, tiga suspek lelaki yang menyamar sebagai wartawan kemudian menyerah diri dan ditahan.

Anak lelaki Atiq, Asad sebelum ini maut ditembak polis awal minggu ini dalam insiden tembak-menembak.

Bekas ahli Parlimen itu sebelum ini mendakwa terdapat ancaman terhadap nyawanya sendiri daripada pihak polis.

Rakaman video tular kejadian itu menunjukkan Atiq dan abangnya Ashraf dalam keadaan tangan mereka bergari menjawab soalan media semasa dalam perjalanan untuk pemeriksaan kesihatan di hospital berhampiran beberapa saat sebelum mereka berdua ditembak.

Dalam rakaman itu, Atiq ditanya sama ada dia menghadiri pengebumian anaknya, dan kata-kata terakhirnya: “Mereka tidak bawa kami, jadi kami tidak pergi.”

Menurut polis, ketiga-tiga suspek datang ke lokasi kejadian menaiki motosikal.

Seorang wartawan dan anggota polis turut cedera dalam kejadian itu.

Susulan kejadian itu, Ketua Menteri Yogi Adityanath mengarahkan siasatan terhadap pembunuhan itu dan melarang perhimpunan beramai-ramai di daerah Uttar Pradesh.

Atiq, yang merupakan bekas ahli parlimen, dan abangnya berada dalam tahanan polis dan dibawa ke Prayagraj di Uttar Pradesh, di mana Atiq menghadapi tuduhan pembunuhan dan serangan.

Dia dipenjarakan pada 2019 selepas disabitkan kesalahan menculik.

Lebih 180 orang yang menghadapi pelbagai pertuduhan telah dibunuh oleh polis di Uttar Pradesh dalam tempoh enam tahun lalu.

Aktivis hak asasi manusia menuduh polis melakukan pembunuhan secara semberono, tuduhan yang dinafikan kerajaan negeri itu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *