PEMIMPIN veteran DAP Lim Kit Siang memberi amaran bahawa Kerajaan Perpaduan boleh runtuh sekiranya bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak diberikan pengampunan diraja.
Menjelaskan pendapatnya itu, Kit Siang melihat masalah yang dihadapi oleh kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih kepada bersifat dalaman daripada luaran.
“Saya fikir adalah satu kesilapan mempercayai bahawa UMNO dapat kembali ke zaman kegemilangannya jika Najib diampunkan.
“Sebaliknya, saya percaya pengampunan Najib pada masa sekarang tidak akan menguntungkan UMNO sama sekali, sebaliknya menguntungkan PAS dan Bersatu, selain menyebabkan kejatuhan kerajaan Anwar,” katanya pada satu kenyataan hari ini lapor Malaysiakini.
Minggu lalu, majlis kerja tertinggi UMNO sebulat suara memutuskan untuk memohon pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong untuk Najib, yang kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun atas rasuah berhubung kes SRC International.
UMNO juga akan menghantar memorandum yang ditandatangani oleh semua 191 pemimpin bahagian parti itu kepada Seri Paduka baginda.
Mengulas lanjut, Kit Siang berkata, satu-satunya cara untuk UMNO mengembalikan semula ‘zaman kegemilangan’ itu adalah dengan kembali kepada prinsip asal pembinaan negara majmuk.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said baru-baru ini juga berkata proses pengampunan untuk Najib kini tidak lagi melibatkan prosedur undang-undang, sebaliknya terserah kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong sepenuhnya.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mendakwa bahawa kerajaan akan berdepan masalah besar jika Najib diberi pengampunan diraja.
Leave a Reply