Trak Mack keluarga Diraja Johor kemalangan di PLUS

TRAK Mack milik keluarga Diraja Johor terlibat kemalangan dengan dua lagi kenderaan selepas tayarnya meletup di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) semalam.

Menurut Ketua Polis Kulai, Tok Beng Yeow, pihaknya menerima laporan kemalangan jalan raya di KM18.8 di PLUS pada 6.50 petang semalam, lapor Oriental Daily.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila tayar trak yang dalam perjalanan dari arah utara menghala ke selatan pecah secara tiba-tiba,” katanya.

Difahamkan, trak itu hilang kawalan sebelum terbabas masuk ke laluan bertentangan dan berlanggar dengan dua lagi kenderaan.

Bagaimanapun katanya, tiada kecederaan dialami pemandu lori berusia 39 tahun dan semua mangsa yang terlibat.

Katanya, kes diklasifikasikan bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).

Terdahulu, tular sekeping gambar dan video berdurasi 23 saat di Twitter memaparkan sebuah lori dipercayai milik keluarga diraja terbabas dan memasuki laluan bertentangan di Lebuhraya PLUS, semalam.

Pada 2016, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memandu trak Mack itu ketika Kembara Mahkota Johor.

Sebelum itu media Australia melaporkan, trak berkenaan yang ditempah khas di Queensland pada 2015, adalah yang paling mahal di dunia.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *