Pukau, tipu warga emas: 3 termasuk dua warganegara China ditahan

Oleh RIZQI ZABIDI

KEGIATAN tiga individu terdiri daripada seorang lelaki tempatan dan dua wanita warganegara China menyasarkan warga emas untuk dipukau dan ditipu secara bersemuka terbongkar apabila kesemua mereka diberkas di kawasan Simpang Kuala, Alor Setar, Kedah, semalam.

Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, lelaki berusia 24 tahun dan dua wanita warganegara China berumur 55 serta 47 tahun itu ditahan kira-kira pukul 11.45 pagi hasil risikan Op Gagak.

Katanya, kesemua mereka ditahan tidak sampai 24 jam selepas mereka dipercayai memperdaya seorang wanita warga emas berusia 70 tahun melibatkan kerugian berjumlah RM110,000.

“Mereka dipercayai akan bergerak menggunakan kereta sewa dan berusaha mengenal pasti mangsa dalam golongan warga emas di pasar pagi.

“Suspek akan berpura-pura meminta bantuan kewangan dengan alasan saudaranya sedang sakit dan perlu segera diubati. Suspek lalu akan mendorong mangsa untuk menyerahkan wang, barang kemas atau barangan berharga lain dengan menjanjikan pulangan lumayan sebagai balasan kesudian mangsa menghulurkan bantuan.

“‘Pulangan’ yang dijanjikan itu bagaimanapun hanyalah air mineral serta garam yang diletakkan dalam sampul. Hanya ketika itulah mangsa sedar bahawa mereka telah ditipu,” katanya dalam satu kenyataan.

Wan Hassan memaklumkan, lelaki tempatan itu mengaku menjadi pemandu kepada dua wanita berkenaan semasa menjalankan kegiatan penipuan itu.

“Sindiket ini dipercayai mula bergiat aktif sejak dua bulan lalu. Pemeriksaan dijalankan terhadap ketiga-tiga suspek menemukan beberapa barangan berharga antaranya tujuh subang, enam rantai leher , empat gelang kaki, lima cincin, empat loket dan satu bar yang semuanya diperbuat dari emas.

“Selain itu terdapat juga dua rantai leher dan sebentuk cincin emas putih, sepasang subang berwarna perak dan seutas jam jenama Rolex,” katanya.

Katanya, pihaknya turut merampas wang tunai bernilai lebih RM2,000 dalam nilai Ringgit Malaysia, Yuan dan Dollar Hong Kong dari ketiga-tiga suspek.

“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu dengan curangnya mendorong supaya harta diserahkan. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara antara setahun hingga 10 tahun, sebat dan denda.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah percaya dengan individu tidak dikenali dan dapatkan nasihat ahli keluarga lain sebelum membuat sebarang keputusan untuk membantu orang lain,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *