SEORANG gadis yang tergamak mencuri kad ATM dan menggunakan wang milik rakannya sendiri termasuk membeli telefon bimbit berjenama akhirnya dicekup polis, Jumaat lalu.
Suspek berusia 21 tahun itu turut dikesan berbelanja pelbagai barangan kegunaan lain sebelum menghilangkan diri sejak 23 Mac lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, pihaknya sebelum ini menerima laporan daripada mangsa berhubung pengurangan wang dalam akaun bank miliknya sebanyak RM8,200.
“Siasatan yang dijalankan oleh Bahagian Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi mendapati transaksi ini bermula pada 23 Mac secara berperingkat.
“Siasatan kemudiannya dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997, sehinggalah pihak polis berjaya menjejaki identiti suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Noor Dellhan berkata, suspek kemudiannya diberkas di sebuah premis di Pandan Perdana, Ampang Jaya, minggu lalu.
Katanya, suspek diberkas kira-kira pukul 12.25 tengah malam.
“Dalam serbuan itu polis merampas sekeping kad ATM milik mangsa dan sebuah telefon bimbit berjenama yang dipercayai dibeli menggunakan transaksi akaun bank mangsa,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Semalam, tular di media sosial seorang gadis mendakwa menjadi mangsa rakannya sendiri setelah kad ATM miliknya dicuri selain wang miliknya digunakan untuk membeli telefon bimbit berjenama.
Leave a Reply