PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, orang Melayu yang meninggalkan kewajipan berpolitik berisiko untuk diambil alih kerajaannya oleh bangsa lain yang menganut Islam atau tenggelam tanpa Islamnya.
Menurut beliau, ia sebagaimana kejatuhan Kerajaan Turki Uthmaniyyah yang berpunca daripada semangat fanatik mazhab dan fanatik perkauman sehingga meninggalkan politik Islam dan mengakibatkan kuasa besarnya hilang.
“Melayu Islam berhak menjadi pemimpin kerajaan yang berdaulat memimpin negara dengan syarat mendapat kuasa bersama Islam.
“Kedudukan yang mewajibkan mereka berpolitik memerintah negara dan memimpin masyarakat majmuk berpandukan Islam yang adil kepada semua,” katanya menerusi catatan Minda Presiden Pas di Facebook, hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, Melayu menganggap dirinya tidak berpisah bangsanya daripada Islam sehingga masyarakat umum Melayu menegaskan bahawa bangsa bukan Melayu yang menganut Islam adalah bangsa Melayu juga.
“Sesiapa yang tidak menganut Islam dikira bukan Melayu. Hal ini bukanlah fanatik perkauman, tetapi hanyalah fanatik Islamnya.
“Melayu Islam pula mestilah sedar bahawa Allah SWT menggabungkan hubungan antara politik memilih dan mengikut pemimpin dalam firman-NYA bersama ketetapan hisab amal pada hari kiamat nanti. Perkara ini menunjukkan bahawa politik wajib bersama Islam,” katanya menurut laporan Sinar Harian.
Sementara itu Abdul Hadi menegaskan, nafsu kebendaan juga menjadi punca kejatuhan kerajaan Islam terdahulu.
“Nafsu kebendaan menjadi sebab kemusnahan kaum terdahulu, seperti yang berlaku terhadap kaum Nuh, ‘Aad, Thamud, Firaun dan lain-lain yang telah disebutkan namanya oleh al-Quran.
“Kejatuhan Islam di Andalus yang telah bertapak selama lapan abad lamanya dan kemusnahan Baghdad yang bertamadun oleh bala tentera Tatar, semuanya kerana nafsu harta yang melekakan, takhta membina mahligai bersama harta dan wanita,” tambahnya.
Leave a Reply