HASRAT seorang pekerja kilang membawa bapa saudaranya membeli persiapan raya tidak kesampaian apabila kedua-duanya maut setelah kenderaan dinaiki terbabas dan melanggar sebatang pokok di Jalan Lendu Masjid Tanah, Alor Gajah malam tadi.
Kejadian pukul 12 tengah malam itu mengakibatkan, mangsa, Muhammad Hasraf Amin Hasrin, 23, dan bapa saudaranya, Mohd Firdaus Yusof, 38, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Seorang lagi penumpang bahagian belakang, Azizul Hamis@Jainy pula cedera parah dalam kejadian itu.
Menurut Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu, ketiga-tiga mangsa menaiki Perodua Myvi dari arah Taman Dimensi Lendu menuju ke arah Masjid Tanah.
Namun katanya, sejurus tiba di lokasi kejadian kereta dipandu Muhammad Hasraf hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar sebatang pokok di bahu kiri jalan.
“Siasatan awal mendapati mereka dalam perjalanan menuju ke bazar Aidilfitiri di Masjid Tanah.
“Impak kemalangan itu pemandu dan bapa saudaranya yang duduk di kerusi penumpang hadapan kereta meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah di kepala, manakala Azizul yang mengalami cedera parah dikejarkan ke Hospital Alor Gajah dan dirawat di zon merah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut Arshad berkata, mayat kedua-dua saudara itu dibawa ke unit forensik hospital sama untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
Leave a Reply