Peniaga kedai makan turut tertekan, rakyat semakin ‘berkira’ ketika berbelanja

Oleh MOHD LAZIM ENDUT

PENINGKATAN kos sara hidup tinggi dihadapi rakyat ketika ini menyebabkan kedatangan bulan Ramadan pada tahun ini tidak semeriah dahulu.

Memandangkan kebanyakan barangan keperluan harian mengalami kenaikan harga, maka rata-rata penduduk di Terengganu terpaksa berhati-hati dan ‘berkira’ ketika berbelanja.

Malah, sejak bermula 1 Ramadan lagi, orang ramai dilihat tidak begitu ghairah untuk berbelanja sama ada di Bazar Ramadan atau pun jualan pakaian hari raya sempena Aidilfitri.

Perkembangan ini menyebabkan suasana di kebanyakan Bazar Ramadan, Bazar Aidilfitri dan juga pasar raya di negeri ini kelihatan agak suram.

Kalau pun ada pelanggan, mereka hanya menghabiskan masa dengan meninjau pelbagai menu kuih dan juga barangan yang dijual sementara menunggu masuk waktu berbuka puasa.

Dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar ini, orang ramai bukan sahaja terpaksa ‘mencatukan’ pembelian makanan dan barangan, sebaliknya mereka kini lebih tertumpu memasak dan berbuka puasa di rumah berbanding di luar.

Kalau dahulu boleh dikatakan kedai-kedai atau warung makan dinegeri ini terutama di lokasi pelancongan dan tumpuan ramai sentiasa dilimpahi pelanggan setiap kali tiba bulan Ramadan.

Namun, penulis mendapati suasana tersebut sudah berubah apabila kebanyakan premis kedai makan kelihatan suram tanpa pelanggan tidak seperti dahulu.

Apa yang menyedihkan ketika penulis ingin berbuka puasa bersama keluarga di Dataran Shahbandar Kuala Terengganu pada minggu lalu mendapati keadaan lot kedai makan di Taman Selera Tanjung yang selama ini merupakan sebuah lokasi popular dan dikunjungi ramai langsung tiada pelanggan.

Pada mulanya penulis bersama keluarga ingin berbuka puasa dengan membentangkan tikar ditepi muara sungai Terengganu berlatarbelakangkan Jambatan Angkat.

Bagaimanapun, sewaktu berjalan di pesisir sungai, penulis mendapati kebanyakan kedai makan di Taman selera tersebut masih kosong tanpa pelanggan dan banyak juga yang ditutup.

Sementara lot-lot perniagaan lain seperti kedai pelbagai dan telefon bimbit juga ditutup sedangkan ia terletak di lokasi pelancongan bersebelahan jalan memasuki ke Jambatan Angkat. Lalu penulis tertanya sendiri kenapa perkara ini boleh berlaku?

Adakah peniaga di sini mengenakan harga yang tinggi menyebabkan pelanggan berasa serik untuk menikmati hidangan di lokasi ini?

Ketika membuat pembayaran, penulis mendapati harga yang dikenakan tidaklah mahal dan ia berpatutan di mana nasi goreng hanya RM6 dan kerang bakar RM13.

Apabila penulis bertanya kepada pemilik kedai makan berkenaan adakah keadaan seperti ini sudah lama dialami.

Peniaga yang dipanggil Kak Ta itu memberitahu, sejak bermula 1 Ramadan lagi, kedai-kedai di situ sudah ketiadaan pelanggan.

Kebanyakan kedai di situ hanya dikunjungi dua atau tiga pelanggan sahaja datang berbuka puasa, ada juga yang langsung tiada pelanggan.

Sebab itulah kata Kak Ta, banyak pemilik kedai makan di situ terpaksa ditutup kerana berada dalam keadaan tertekan.

Begitulah fenomena baharu yang dialami oleh pemilik kedai makan sama ada restoran atau warung makan di Terengganu sepanjang bulan Ramadan pada tahun ini.

Penulis mendapati bukan di Taman Selera Tanjung sahaja ketiadaan pelangggan, sebaliknya beberapa lokasi tumpuan lain termasuk di Batu Burok, Padang Negara, Hentian Bas Kuala Terengganu dan Taman Selera Kelulut di Marang juga berhadapan dengan kekurangan pelanggan.

Ini menyebabkan kebanyakan peniaga, khususnya membabitkan kedai makan kini semakin tertekan manakala orang ramai pula terus berasa bimbang dengan kadar inflasi dan keadaan ekonomi negara sekarang ini.

Selepas baharu sahaja berbelanja untuk persekolahan anak-anak pada awal Mac lalu, kini mereka terpaksa mencatur pula perbelanjaan untuk sambutan Ramadan dan Syawal.

Maka itu, ramai menjangkakan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini bakal berlangsung dalam keadaan paling suram dan tidak semeriah sepertimana tahun-tahun sebelum ini
termasuk ketika rakyat negara ini berada dalam perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan Covid-19 melanda negara.

Justeru, pemimpin negara sama ada Persekutuan mahupun negeri perlu berganding bahu mencari jalan membantu rakyat, bukan terus ‘berperang’ dengan isu-isu politik memualkan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *