MB Kelantan tak bincang mengenai royalti dengan PM

MENTERI Besar Kelantan, Datuk Seri Ahmad Yakob menjelaskan pertemuannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini hanyalah kunjungan biasa dan tidak membincangkan secara khusus berkaitan tuntutan royalti petroleum.

Ahmad berkata, pihaknya sudah menghantar surat kepada kerajaan Persekutuan berhubung isu berkenaan.

“Royalti seperti mana dulu, kita beri salinan (surat) saja. Tuntutan itu dihantar sebagai mana biasa.

“Berunding itu atas asas yang lama, apapun itu saja sebagaimana yang lama,” katanya pada sidang media selepas mengagihkan sumbangan kuih raya kepada agensi keselamatan di Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai usul yang diterima dewan undangan negeri (DUN) Kelantan sebelum ini yang mahu Menteri Besar berunding dengan Perdana Menteri berhubung royalti petroleum dengan kadar segera.

Kelantan dan Terengganu tidak layak menerima hasil petroleum sebanyak 5 peratus.

Ini kerana menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, Akta Laut Wilayah 2012 menetapkan bahawa negeri hanya boleh menuntut hak sehingga tiga batu nautika.

Sementara itu Ahmad berkata, pertemuan yang berlangsung di Putrajaya kelmarin itu adalah kunjungan biasa.

“Menerusi pertemuan itu, kita memohon supaya semua perkara (diluluskan) pada pentadbiran sebelum ini supaya diteruskan.

“Berunding atas asas yang lama dan Perdana Menteri memberi maklum balas dengan mengatakan ‘Insya-Allah’.

“Insya-Allah kita berharap Perdana Menteri memberi sesuatu yang terbaik untuk Kelantan,” katanya, lapor Malaysiakini.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *