Lelaki ditahan hina institusi beraja dalam Facebook

SEORANG lelaki warga tempatan direman dua hari bagi membantu siasatan berhubung hantaran berbaur penghinaan terhadap institusi beraja menerusi akaun Facebook.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin berkata, lelaki berusia 42 tahun itu direman dua hari bermula hari ini hingga esok.

“Kita telah membuat permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dan tempoh tahanan reman yang dibenarkan adalah selama dua hari iaitu bermula pada hari ini hingga esok.

“Kes dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

Semalam, media melaporkan, lelaki itu ditahan di Temerloh Pahang oleh sepasukan pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *