KEMATIAN anggotar tentera berpangkat koperal di Hutan Simpan Belum, dekat Gerik, tidak membabitkan sebarang unsur jenayah atau binatang buas, kata Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri.
Katanya, mayat Mohammad Nasri Mohd. Nasib berusia 33 tahun dari Batalion ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja berpangkalan di Kem Sri Bentong, Pahang ditemui dalam keadaan sempurna pada 10.15 pagi semalam.
“Saya dimaklumkan mayat (ditemui) dalam kawasan hutan berhampiran dengan sungai.
“Keadaan mayat masih sempurna dan kita percaya tiada unsur jenayah ataupun binatang buas. Jadi kita tunggu hasil bedah siasat,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau berkata, mayat mangsa dipindahkan dari Hospital Gerik ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh untuk dibedah siasat.
Buat masa ini, katanya, kes diklasifikasikan mati mengejut.
Media sebelum ini melaporkan kehilangan mangsa ketika menjalankan operasi bersama lima anggota lain kira-kira 5 petang Jumaat lalu.
Kehilangan mangsa dilaporkan kepada polis hanya pada 12.50 tengah malam Ahad lalu, dengan usaha mencari dan menyelamat dijalankan bersama pasukan tentera pada hari sama mangsa dilaporkan hilang.
Leave a Reply