Waris mangsa Double Six persoal laporan dirahsiakan terlalu lama

WARIS mangsa pesawat Double Six pada 1976 di Sabah menimbulkan lebih banyak persoalan berkaitan laporan hasil siasatan nahas terbabit yang dikeluarkan selepas tempoh agak lama.

Memetik laporan Berita Harian, Iskandar Sulong, anak bongsu kepada Menteri Kewangan Sabah ketika itu, Datuk Salleh Sulong berkata, seperti majoriti waris keluarga mangsa lain, beliau juga tidak berpuas hati dengan hasil laporan terbabit.

“Saya cuma rasa tidak puas hati kenapa mereka (pihak bertanggungjawab) tidak beritahu sebab sebenarnya sejak awal lagi. Waktu kejadian saya berumur lima tahun, sekarang saya berumur 52 tahun.

“Sejak saya kecil, fikiran saya terganggu (disebabkan tragedi Double Six). Tambahan pula, saya cenderung untuk menunggu hasil laporan dilepaskan dari Kerajaan Australia,” katanya, hari ini.

Menurut Iskandar, ahli keluarganya yang lain juga mempunyai pandangan sama terhadap laporan hasil siasatan pesawat itu.

Beliau turut memberitahu berkemungkinan besar pihaknya akan membuat tuntutan agar kerajaan tampil dengan laporan terperinci mengenai tragedi berkenaan.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden UPKO, Donald Peter Mojuntin mempersoalkan mengapa laporan berkenaan diletakkan mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) selama 47 tahun sedangkan ia “tidak berbahaya” dan menawarkan “penjelasan mudah” punca kepada nahas.

Donald adalah anak kepada menteri perumahan dan kerajaan tempatan negeri ketika itu, Peter Mojuntin, antara 11 terkorban dalam tragedi itu.

“Kami keliru mengapa laporan itu dirahsiakan bagi tempoh sangat lama. Ada pegawai kerajaan dan menteri berkata laporan itu dirahsiakan kerana melibatkan kepentingan awam. Ada juga yang berkata ia melibatkan keselamatan negara.

“Tetapi, mereka boleh sahaja memaklumkan semua ini 46 tahun lalu. (Laporan) ini anti-klimaks,” katanya kepada FMT.

Tambahnya, beliau menggesa kerajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim menubuhkan jawatankuasa khas menyiasat mengapa laporan itu perlu dirahsiakan.

Menurut laporan tragedi yang dinyahklasifikasi, tiada unsur sabotaj, kebakaran atau letupan yang menjadi punca kemalangan tragik pesawat terhempas pada 1976 yang meragut nyawa Ketua Menteri Sabah ketika itu Fuad Stephens dan 10 yang lain.

Menurut laporan itu, pesawat itu diselenggara mengikut jadual dan terbang dengan had berat yang dibenarkan.

Bagaimanapun, kedudukan pusat graviti pesawat di luar had buritan kapal, kata laporan itu.

Kata laporan itu, jelas prosedur operasi yang dijalankan oleh juruterbang syarikat itu tidak mengikut standard profesional.

Kata laporan itu, syarikat itu perlu ada sistem pemantauan untuk memastikan semua prosedur dipatuhi, tambahnya satu contoh adalah pemantauan masa rehat kru penerbangan.

Juruterbang pesawat itu dilaporkan sudah melebihi masa bertugas selama 67 minit ketika kemalangan berlaku. Jumlah masa bertugas ditetapkan kepada 10 jam. Manual operasi syarikat menunjukkan masa kru penerbangan mula bertugas adalah dua jam sebelum berlepas dan sejam selepas penerbangan.

Susulan kejadian itu, pengeluar GAF Nomad Australia dan Jabatan Pengangkutan Australia melancarkan siasatan untuk membuktikan bahawa nahas bukan disebabkan oleh masalah mekanikal.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *