TIMBALAN Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sebanyak RM11 bilion wang tidak dituntut (WTD) direkodkan setakat Mac tahun ini.
Beliau bagaimanapun menjelaskan, sebanyak RM3.2 bilion WTD dibuat bayaran balik.
“Bayaran dibuat kepada empunya membabitkan akaun simpanan, insurans, deposit dan lain-lain.
“Sebanyak 354,912 permohonan tuntutan dalam talian diterima,” katanya, menurut laporan Free Malaysia Today.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, kerajaan bercadang meminda Akta Wang Tak Dituntut 1965 yang dijangka dibentangkan hujung tahun ini di Dewan Rakyat.
Katanya, antara cadangannya adalah untuk meminda tempoh pindahan ke akaun hasil disatukan dari 15 ke 10 tahun.
“Ini bagi tujuan melancarkan operasi pengurusan WTD supaya lebih cekap dan efisien serta dapat meningkatkan pematuhan syarikat/firma terhadap Akta Wang Tidak Dituntut 1965,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata pelantikan Datuk Seri Jamal Yunos sebagai ahli jawatankuasa UMNO tidak menjadi masalah walaupun disiasat atas dakwaan sogokan untuk memenangi jawatan ketua UMNO Sungai Besar.
Beliau berkata, ini kerana Jamal belum didapati bersalah.
“Itu perkara kecil sahaja. Dia belum didapati bersalah, sudah tentulah boleh,” katanya.
Semalam, Jamal memaklumkan pelantikannya itu selepas menerima watikah daripada Ketua UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.
Isnin lalu, Utusan Malaysia melaporkan Jamal dipercayai dipanggil bagi pendengaran Lembaga Disiplin Umno apabila didakwa menyogok 12 perwakilan untuk mengundinya pada pemilihan parti.
Kekal tak benar keluar KWSP
Sementara itu, Ahmad mengulangi kerajaan kekal dengan pendirian tidak membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) termasuk secara bersasar.
Bagaimana, beliau berterima kasih dengan cadangan bekas menteri kewangan, Johari Abdul Ghani supaya kerajaan mempertimbang cadangan pengeluaran KWSP dibuat secara terus berbanding dijadikan cagaran untuk pinjaman bank.
Ahmad menegaskan, walaupun Akaun 1 tidak dibenarkan keluar, tetapi Akaun 2 masih dibenarkan untuk pengeluaran.
Leave a Reply