Majlis Kewangan Negara: Sanusi dakwa ada surat MOF kepada Pejabat Sultan Kedah

Oleh RIZQI ZABIDI

DAKWAAN dibuat Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor bahawa beliau cuba disingkirkan daripada mewakili negeri itu dalam Majlis Kewangan Negara sebelum ini bukanlah sesuatu yang tidak berasas.

Sebaliknya menurut Muhammad Sanusi, terdapat surat dari Kementerian Kewangan (MOF) kepada Pejabat Sultan Kedah sebelum ini, dengan tujuan melobi agar beliau digantikan dengan individu lain dalam Majlis Kewangan Negara.

“Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan MOF itu samalah, orang yang sama. Surat itu datang dari Kementerian Kewangan.

“Saya ‘habaq’ (beritahu) dari MOF, bermakna adalah (surat) tersebut. Bukan pertahan dah tetapi benda itu ‘dok’ ada.

“Di Wisma Darul Aman (pusat pentadbiran negeri Kedah) ini saya berkawan dengan semua orang dari sekecil-kecil jawatan hingga yang besar. Sebab itu apa yang dibuat di sini saya tahu termasuklah tindakan ‘depa’ hantar surat kepada baginda untuk lobi agar ditukar Ahli Majlis Kewangan Negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi menambah, beliau tidak mendedahkan surat tersebut sebelum ini kerana tindakan tersebut jika dilakukan akan memperlihatkannya seolah-olah cuba melakukan konfrontasi.

“Hasrat saya jangan bagi perkara itu berlaku dan bukannya mencari gaduh. Sepatutnya apabila dah jadi Perdana Menteri, menteri atau pegawai hebat di PMO, gunalah bahasa pentadbiran dan bukan bahasa politik lagi.

“Jangan ambil tindakan politik terhadap kerajaan lain kerana kerajaan negeri juga berdaulat dan perlu dihormati. Jangan anggap sebagai dianggap sebagai ‘belasahan’,” katanya.

Katanya tindakan untuk melobi agar individu tertentu ditukar serta didiskriminasi sentiasa dipandang orang dan terlihat jelas dalam keadaan dunia kian canggih kini.

“Dalam dunia sekarang dah tak boleh buat begitu. Kita kena bergerak sebagai seorang pentadbir apabila menjadi kerajaan dan bukannya otak pembangkang di PMO,” katanya.

Ditanya kemungkinan beliau akan mendedahkan surat itu jika terus ditekan selepas ini, Muhammad Sanusi berkata, beliau merasakan setakat ini tidak perlu untuknya menuju terus ke penamat.

“Benda itu ada, tak payahlah sampai hujung lagi. ‘Main’ dulu separuh masa pertama, nanti pengadil tiup wisel untuk separuh masa kedua, kita masuk lain pula.

“Lakukan langkah demi langkah, tak bolehlah terus nak habiskan saja,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *