‘Kebocoran maklumat’ SPRM, Armada Bersatu buat laporan polis

ARMADA Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini membuat laporan polis bagi memohon agar siasatan dapat dijalankan berhubung dakwaan kebocoran maklumat berkaitan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Penolong Setiausaha Armada Bersatu, Muhammad Faiz Rahmad membuat laporan itu di balai polis Dang Wangi, Kuala Lumpur, pagi tadi.

Beliau diiringi Ketua Armadanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan beberapa pemimpin yang lain, lapor MalaysiaKini.

Dalam laporan itu, Faiz memetik dua contoh kebocoran yang dikatakan berlaku, pertama adalah sumber daripada SPRM yang mengesahkan kepada media bahawa agensi antirasuah itu telah membekukan dua akaun milik Bersatu, dengan kira-kira RM40 juta di dalamnya.

Contoh kedua yang disebut ialah surat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said kepada pasukan peguam Datuk Seri Najib Razak yang mengatakan bahawa Hakim Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali telah melanggar Kod Etika Hakim ketika mendengar perbicaraan kes SRC International bekas perdana menteri itu.

Menyentuh perkara itu dalam laporannya, Faiz berkata, SPRM tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyiasat dakwaan pelanggaran Kod Etika Hakim.

Justeru katanya, adalah jelas SPRM membocorkan butiran siasatan mereka kepada Azalina sebelum perkara itu didedahkan kepada media dan blog untuk memberi tanggapan palsu bahawa Nazlan membuat penghakiman yang tidak adil dalam menjatuhkan hukuman kepada Najib dalam kes SRC.

Menurut Faiz, ini adalah konspirasi untuk mencemarkan nama baik Nazlan dan menggambarkannya sebagai seorang yang tidak jujur.

Ini juga secara langsung mempersoalkan penghakimannya terhadap Najib, dan memusnahkan kepercayaan rakyat terhadap badan kehakiman, katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *