KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) telah membatalkan keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 2019 untuk membatalkan pendaftaran MyPPP.
Presiden MyPPP, Maglin Dennis D’cruz berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai perkara itu oleh KDN pada 11 April lalu.
“ROS juga kini mengesahkan keabsahan senarai ahli Majlis Tertinggi myPPP di bawah kepimpinan saya yang dipilih sebagai presiden parti semasa Perhimpunan Agung Tahunan yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 19 Mac lalu.
“Perkembangan terbaru in menandakan berakhirnya kemelut kepimpinan yang melanda myPPP yang telah berlarutan sejak hampir lima tahun lalu,” kata Maglin dalam kenyataan, lapor MalaysiaKini.
Pendaftaran MyPPP telah dibatalkan pada 2018 selepas dua puak dalam parti itu, masing-masing mendakwa sebagai pemimpin parti yang sah.
Satu puak diketuai oleh Datuk M. Kayveas manakala D’cruz mengetuai yang satu lagi.
Kayveas telah memimpin parti itu selama dua dekad, dan berjaya memastikan parti itu mempunyai wakil di kedua-dua Dewan Negara dan Dewan Rakyat pada 2004.
Pada 2018, hanya beberapa minggu menjelang pilihan raya umum, Kayveas secara tiba-tiba meletak jawatan sebagai presiden parti dan hanya menarik balik surat peletakan jawatannya beberapa hari kemudian.
Ini menyaksikan MyPPP mempunyai dua presiden. Ketika itu, puak Kayveas berkeras untuk meninggalkan Barisan Nasional (BN) manakala puak Maglin mahu terus bersama.
Setakat hari ini, MyPPP bukan lagi sebahagian daripada gabungan BN.
MyPPP ialah pengganti Parti Progresif Penduduk (PPP) yang pernah menjadi parti politik berkuasa di Perak
Leave a Reply