Didakwa sogok perwakilan, Jamal Yunos akan saman penuduh

KETUA UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Yunos akan memfailkan saman terhadap pihak yang memfitnahnya menyogok perwakilan, pada pemilihan parti 18 Mac lalu.

Jamal yang baru dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa UMNO Selangor juga akan membuat laporan polis terhadap dakwaan yang cuba mengaitkannya dengan salah laku itu.

“Saya akan membuat tuntutan sivil dan membuat laporan polis tentang kenyataan fitnah kepada saya yang mengakibatkan pandangan serong masyarakat kepada saya dan mencemarkan nama baik UMNO Sungai Besar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memberikan keterangan hampir tiga jam kepada Lembaga Disiplin UMNO.

Jamal, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar tiga penggal hadir pada 12 tengah hari tadi bersama 15 daripada 24 perwakilan yang didakwa disogok beliau pada pemilihan itu.

Beliau berkata, tuntutan sivil terhadap penuduh akan dibuat selepas lengkap siasatan Lembaga Disiplin UMNO.

Jamal merasakan tohmahan itu dilakukan oleh penuduh berkenaan, yang sebelum ini sering menimbulkan prasangka buruk terhadapnya dalam kalangan perwakilan UMNO, khususnya di Selangor.

“Persepsi negatif itu menjadi antara punca utama saya kalah dalam pemilihan ahli majlis kerja tertinggi parti, baru-baru ini,” katanya.

“Walaupun saya kecewa dengan serangan itu, dia tidak pernah serik. Saya harap bila dia pernah melalui proses hukuman di penjara bolehlah berubah, insaf kembali ke pangkal jalan dan tidak melakukan perkara tidak baik, fitnah orang, dan sebagainya.

“Saya melihat apa yang telah beliau lakukan tidak sedikit pun jadi pengajaran kepada beliau sendiri,” katanya, lapor FMT.

Jamal mengekalkan jawatan ketua Umno Sungai Besar pada pemilihan parti.

Bagaimanapun, menerusi sepucuk surat ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Hafarizam Harun bertarikh 7 Apr 2023, Jamal dikatakan melanggar peruntukan Perlembagaan UMNO dan Tataetika Ahli UMNO yang boleh dihukum bawah Fasal 20.9

Dalam surat itu juga, perwakilan yang diberikan sogokan diarahkan bersumpah untuk mengundinya pada pemilihan parti.

Selain wang tunai, perwakilan turut diberikan satu beg perwakilan mengandungi kad gantung perwakilan, cai, dan sekeping kad jemputan dikatakan boleh ditunaikan berjumlah RM2,000, jika Jamal menang pemilihan.

Jamal menafikan dakwaan itu dan mendakwa tuduhan berkenaan dibuat pihak yang kalah dalam pemilihan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *