JABATAN Audit Negara disaran agar mengeluarkan laporan lebih konkrit dan pembetulan kesilapan dalam dokumen hak milik Tanah Rizab Melayu (TRM) pada masa depan.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, berdasarkan laporan Audit Negara 2019 (siri 2) Perak yang dikeluarkan Ketua Audit Negara menggambarkan wujud kelemahan pengendalian rekod atau daftar menyebabkan statistik TRM tidak memberi gambaran sebenar keluasan tanah di negeri berkenaan.
Menurutnya, pewartaan TRM juga mengambil masa lama untuk disempurnakan dan pengisytiharaannya juga tidak menepati syarat serta proses pemberian milikan didapati tidak diadakan secara teratur.
Tegasnya, kesilapan tindakan pembetulan diambil Pejabat Tanah dan Galian (PTG) juga membenarkan berlakunya pindah milik kepada bukan Melayu walaupun bertentangan enakmen Negeri-Negeri Melayu Bersekutu Bab 142 (ERM 142).
“Sebagai contoh pindah milik kepada bukan Melayu membabitkan satu lot TRM di Mukim Jaya Baru, Perak Tengah dan dua lot TRM di Mukim Setiawan, Manjung yang keseluruhannya membabitkan kawasan seluas 3,214.084 hektar,” katanya, lapor Berita Harian.
Hishamuddin berkata demikian sebelum menyerahkan memorandum kepada Jabatan Audit Negara menggesa Ketua Audit Negara memberi syor dan saranan kepada PTG Perak untuk mengembalikan TRM yang dipindah milik secara salah kepada bukan Melayu.
Bagaimanapun, memorandum itu gagal diserahkan kepada Jabatan Audit Negara selepas seorang pegawai jabatan itu memaklumkan ia perlu diserahkan kepada PTG Perak dan bukan di bawah bidang kuasa jabatan itu.
Hisamuddin berkata, pencerobohan TRM disebabkan kelemahan tindakan penguatkuasaan sehingga menimbulkan kerugian kepada kerajaan negeri dan jumlah TRM juga semakin berkurangan.
Beliau berkata, selain TRM yang bertukar hak status apabila dipindah milik kepada bukan Melayu, terdapat sebilangan TRM yang masih berstatus rizab Melayu tetapi dimiliki bangsa lain yang mana proses pindah milik yang berlaku diragui serta tidak mengikut undang-undang.
Katanya, MHO menyarankan TRM dikembalikan semula kepada pihak yang betul dengan mengguna pakai Seksyen 380 Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 iaitu berkaitan pembetulan kesilapan dalam dokumen hak milik dan Seksyen 380 KTN 1966 menggunakan autoriti am mahkamah,” katanya.
Leave a Reply