AHLI Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman, hari ini tampil mempertahankan tindakan Ahli Parlimen Besut, Che Mohamad Zulkifly Jusoh merasmikan mesin pengeluaran wang tunai (ATM) di Besut baru-baru ini.
Walaupun tindakan itu menerima kecaman warga maya, Syahir berkata, mesin ATM itu besar manfaatnya bagi penduduk yang berada di kawasan terceruk seperti itu.
“Ramai dalam kalangan netizen yang ‘mempersendakan’ upacara perasmian mesin pengeluaran wang ATM di sebuah stesen minyak, di daerah Besut, Terengganu.
“Bagi kita yang tinggal di bandar mahupun pinggir bandar, akses kepada mesin ATM dan cawangan bank yang berdekatan dianggap sebagai perkara kecil yang tidak perlu dicari, apatah lagi diminta untuk disediakan.
“Namun bagi penduduk di daerah terceruk, perkara ini adalah sebaliknya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Malaysiakini.
Semalam media melaporkan banyak pihak mempersenda atau mengecam tindakan Che Mohamad selepas merasmikan seunit mesin ATM di sebuah stesen minyak di kawasannya.
Ia disempurnakan dengan acara memotong riben.
Untuk rekod orang ramai ‘membahan’ Che Mohamad kerana majlis perasmian berkenaan, bukannya membabitkan keperluan mesin ATM di kawasan tersebut.
Mereka berpendapat membuat majlis perasmian sebegitu sebagai aneh kerana mesin ATM sudah digunakan secara berleluasa di seluruh Malaysia, bukannya seperti pada era 1990-an.
Mengulas lanjut, Syahir berkata, daerah Besut sama seperti Bachok kerana terletak di kawasan luar bandar dan majoriti penduduknya terdiri daripada golongan petani, nelayan, warga emas dan golongan miskin.
Beliau yang juga Setiausaha Politik Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, kemudahan mesin ATM mungkin kecil di mata orang lain namun cukup besar manfaatnya kepada masyarakat setempat.
“Maka tidaklah mengejutkan apabila di Bachok, antara perkara yang diminta oleh pengundi dalam PRU ke-15 yang lalu, khususnya dalam kalangan pengundi muda, adalah untuk diwujudkan cawangan bank di Bachok dan perbanyakkan mesin ATM di Bachok.
“Ya, itulah antara perkara ‘besar’ yang diminta kepada saya untuk diusahakan.
“Justeru peringatan kepada diri saya, mungkin perkara yang dianggap ‘kecil’ di mata kita, boleh jadi ‘besar’ di mata pihak yang lain,” katanya lagi.
Leave a Reply