UMNO tidak akan belajar daripada kesilapan

Oleh MOHD AZAM MOHD ATAN

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), satu catatan sejarah telah tercipta apabila parti UMNO-BN yang telah memerintah lebih enam dekad tumbang kepada gabungan Pakatan Harapan (PH).

PH berjaya membentuk kerajaan dengan majoriti mudah apabila memperoleh 113 kerusi Parlimen manakala UMNO-BN yang sebelum ini gah di persada kuasa hanya memperolehi 79 kerusi Parlimen.

Berikutan kekalahan itu, parti-parti komponen lain yang memayungi BN seperti Parti Gerakan, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik (PDP) bertindak meninggalkan gabungan itu.

Najib Razak pada masa sama meletakkan jawatan sebagai Pengerusi BN dan Presiden UMNO kerana mengambil tanggungjawab kekalahan terburuk UMNO-BN yang tidak pernah dijangka.

Semua orang sedar, penolakan besar-besaran terhadap UMNO-BN adalah kerana isu 1MDB dan skandal SRC yang menyelubungi kerajaan pada masa itu yang dikategorikan sebagai penyelewengan terbesar di Malaysia dan turut mendapat perhatian dunia luar.

Dan apabila Najib dihukum penjara dan denda RM210 juta atas penyelewengan SRC serta berdepan dengan empat lagi pertuduhan kes 1MDB, rakyat melihat adalah wajar bekas Perdana Menteri itu menerima hukuman.

Ini kerana, disebabkan akibat skandal 1MDB, kerajaan Malaysia terpaksa menggunakan wang rakyat perlu melunaskan RM17 bilion hutang-hutang tersebut bagi tujuan pelunasan baki prinsipal dan faedah hutang 1MDB sebanyak RM38.8 bilion bagi tempoh 2023 hingga 2039.

Maka, apabila UMNO melalui kepimpinan Ahmad Zahid ketika ini yang beria-ia mahu Najib diberikan pengampunan diraja, ramai rakyat yang marah dengan tindakan tersebut.

Rakyat hairan dengan sikap Majlis Kerja Tertinggi yang memohon ihsan Yang di-Pertuan Agong mempertimbangkan pengampunan penuh buat Najib sebagaimana kuasa yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Nampaknya, UMNO tidak belajar daripada signal rakyat pada 2018 yang menolak UMNO-BN kerana isu 1MDB dan SRC.

Bantahan rakyat terhadap tindakan UMNO juga telah dizahirkan melalui petisyen yang ditandatangani melalui saluran Change.org supaya Najib yang belum cukup setahun di penjara mendapat pengampunan.

Sehingga artikel ini ditulis, sejumlah 146,897 orang telah menyatakan pendirian mereka bahawa Najib tidak wajar diampunkan berbeza dengan petisyen yang digerakkan bagi memohon pengampunan Najib, hanya 35, 803 tanda tangan telah diturunkan oleh orang ramai.

Sudah jelas pandangan rakyat itu diterjemahkan pun, UMNO masih tidak sedar dan tetap meneruskan agenda mereka mahu Najib dibebaskan dan giat menyerang hakim yang telah menjatuhkan hukuman terhadap Najib.

Jadi, adakah UMNO sedar bahawa tindak-tanduk mereka selama ini akan menjauhkan sokongan rakyat terhadap parti itu?

Jawapannya sudah tentulah tidak!

Ini kerana, selepas prestasi buruk pada PRU14 dan makin teruk pada PRU15 apabila jumlah kerusi merosot hingga hanya memiliki bawah 30 kerusi di Parlimen, kepemimpinan dilihat membuat pelbagai keputusan yang didakwa tidak mengambil kira pandangan ahli akar umbi dan penyokong atas pagar.

Paling ketara seperti diketahui ramai apabila sanggup bekerjasama dengan musuh seteru iaitu PH dan DAP serta menutup ruang demokrasi dalam UMNO apabila jawatan presiden dan timbalan presiden tidak ditandingi.

Dengan segala tindakan itu, usahlah diharap UMNO akan belajar dari kesilapan dan mendengar pandangan orang ramai untuk mengubah hala tuju mereka ketika ini.

Penulis berpandangan, sokongan terhadap UMNO akan terhakis dengan ketara pada pilihan raya enam negeri pada Julai depan dan seterusnya merosot dengan teruk pada PRU16.

Penulis adalah penganalisis politik dan ekonomi.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *