AHLI Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan enggan mengulas lanjut mengenai kertas siasatan berhubung kenyataan berunsur perkauman membabitkan dirinya.
Muhammad Fawwaz hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut pada pukul 3 petang Jumaat lalu untuk memberi keterangan berhubung perkara tersebut.
“Isu ini sedang dalam siasatan polis. Saya juga telah memberi keterangan berkaitan isu ini kepada pihak polis (di) IPD Timur Laut. Oleh itu, saya tidak mahu mengulas lebih lanjut mengenai isu ini kerana dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sebelum ini, Muhammad Fawwaz menerusi entri di Facebooknya dilaporkan berkata “… Dalam sirah belum pernah ada sejarah kafir ada keinginan untuk memartabatkan agamamu wahai Muslim, tetapi menjatuhkan agamamu selalu diingatkan dalam al-Quran.”
Namun tidak lama kemudian beliau memohon maaf dan berkata, kenyataan berkenaan ditulis dan dimuat naik oleh pengendali Facebooknya, selain berharap isu berkenaan tidak diperbesarkan kerana kenyataan itu sudah dipadam.
Tambah Muhammad Fawwaz, isu tersebut sudah lama namun sengaja dimainkan semula oleh pihak tidak berpuas hati dengan Perikatan Nasional (PN).
“Insya-ALLAH tiada apa-apa, pihak yang tidak berpuas hati dengan PN hanya mahu memainkan isu yang sudah pasti rakyat tidak akan termakan dengannya.
“Saya pun tak ingat bila hantaran itu dibuat dan bila ia dipadam oleh pengendali Facebook saya. Isu ini pun tak ada apa-apa pun, sengaja dibangkitkan. Ia bukan isu baru,” katanya lagi, lapor Sinar Harian.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sudah membuka kertas siasatan berhubung kenyataan berunsur perkauman, membabitkan dua wakil rakyat daripada PN.
Kertas siasatan itu dibuka ke atas Presiden Pas yang juga Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Muhammad Fawwaz yang juga Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang.
Kata Saifuddin, siasatan ke atas Abdul Hadi dan Muhammad Fawwaz dibuat mengikut Seksyen 505(C) Kanun Keseksaan yang mana, Muhammad Fawwaz didakwa membuat fitnah ke atas orang bukan Islam.
Leave a Reply