PAKATAN Harapan (PH) Selangor menafikan dakwaan beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dikuasai gabungan itu akan ‘dikorbankan’ bagi memberi laluan kepada calon Barisan Nasional (BN) pada PRN nanti.
Setiausaha PH Selangor, Mohd. Khairuddin Othman berkata, perkara itu tidak dibincangkan antara PH dan BN dalam rundingan agihan kerusi.
“Pendirian kita masih sama seperti diputuskan PH di peringkat Pusat bahawa parti akan kekal bertanding di kerusi dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Tidak ada perbincangan berkaitan ‘korban kerusi’ di Selangor. Pendirian PH Selangor sebagaimana kenyataan Ketua Setiausaha PH (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) iaitu ‘status quo’ bagi semua kerusi yang dimenangi oleh PH.
“Jika kita tidak boleh menang banyak, jadi kenapa perlu adanya kerjasama,” katanya menurut Berita Harian.
Terdahulu, media yang memetik sumber melaporkan, PH mungkin akan menyerahkan sekurang-kurangnya lima kerusi ‘selamat’ kepada BN dalam langkah strategik bagi mengekalkan kerajaan perpaduan.
DAP dan PKR dikatakan melakukannya untuk memastikan Selangor tidak jatuh ke tangan Perikatan Nasional (PN).
Malah, nama Bendahari BN Selangor, Datu Seri Tengku Zafrul Aziz, antara beberapa calon gabungan itu yang mungkin bertanding di kerusi selamat, yang dijangka dikorbankan oleh DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada PRN akan datang.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu, yang tewas di Parlimen Kuala Selangor pada PRU15 kepada calon PH, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, dijangka diberi kerusi bandar majoriti Melayu yang agak selamat.
Sebelum ini, Saifuddin berkata, PH dan BN bersetuju semua kerusi penyandang kekal kepada parti yang menang pada PRU14 dalam menghadapi PRN di enam negeri kelak.
Selain itu, Khairuddin berkata, beliau percaya undi orang Melayu di Selangor lebih bersifat realistik dan yakin keputusan pilihan raya itu nanti akan memihak kepada PH.
Katanya, PH Selangor juga yakin pengundi muda melalui Undi18 di Selangor akan terus bersama dengan PH.
Leave a Reply