SEORANG kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun rentung dalam kebakaran membabitkan dua buah rumah di Kampung Pisang, Air Itam, George Town, Pulau Pinang tengah malam tadi.
Mangsa, G. Sri Laavanya ditemukan maut setelah terperangkap di dalam rumahnya yang musnah akibat kebakaran berkenaan.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong, Mohd. Shakir Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu kira-kira pukul 11.19 malam.
Jelasnya, Seramai 19 anggota termasuk penyelia dan ketua balai kemudiannya dikerahkan ke lokasi kejadian.
”Apabila pihak bomba tiba di tempat kejadian didapati terdapat kebakaran melibatkan dua buah rumah di mana anggaran peratusan kemusnahan kebakaran adalah 80 peratus pada rumah pertama dan 50 peratus pada rumah bersebelahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, menerusi maklumat awal yang diterima oleh orang awam terdapat seorang mangsa kanak-kanak yang terperangkap di dalam salah sebuah rumah yang terbakar.
”Komander Operasi membuat ‘size up’ di lokasi kejadian dan mengarahkan anggota melakukan kerja-kerja pengawalan dan pemadaman.
”Kebakaran dapat dikawal pukul 12.45 pagi dan dipadamkan sepenuhnya pukul 12.55 pagi,” katanya.
Tambahnya, mangsa ditemukan dalam keadaan rentung pada pukul 12.33 pagi dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis.
”Kerja-kerja ‘overhaul’ dijalankan sehingga operasi tamat sepenuhnya pukul 1.23 pagi dan punca kebakaran masih disiasat,” katanya.
,
Leave a Reply