Jamal nafi dakwaan sogok perwakilan UMNO

KETUA UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Yunos menafikan dakwaan menyogok 12 perwakilan untuk mengundinya pada pemilihan parti 18 Mac lalu.

Beliau menyifatkan dakwaan itu fitnah dibuat pihak lawan yang kalah dalam pemilihan parti peringkat Bahagian Sungai Besar.

Bagaimanapun, Jamal tidak menamakan pihak yang kalah itu.

“Saya nafikan. (Ini) fitnah daripada pihak yang kalah dalam pemilihan lepas,” katanya mengesahkan dipanggil Lembaga Disiplin UMNO pada Rabu ini berkaitan dakwaan itu.

“Memang betul saya akan dipanggil Lembaga Disiplin Rabu nanti pada 12 tengah hari.”

Jamal mengekalkan jawatan ketua UMNO Bahagian Sungai Besar pada pemilihan parti Mac lalu, dengan menewaskan bekas menteri besar Selangor Datu Seri Dr. Mohamad Khir Toyo.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Jamal dipercayai dipanggil bagi pendengaran Lembaga Disiplin UMNO apabila didakwa menyogok 12 orang perwakilan untuk mengundinya pada pemilihan parti.

Menerusi sepucuk surat ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Mohd. Hafarizam Harun bertarikh 7 April 2023, beliau dikatakan melanggar peruntukan Perlembagaan UMNO dan Tataetika Ahli UMNO yang boleh dihukum bawah Fasal 20.9

Dalam surat itu juga, perwakilan yang diberikan sogokan diarahkan bersumpah untuk mengundi Jamal dalam pemilihan parti.

Selain wang tunai, perwakilan turut diberikan satu beg perwakilan mengandungi kad gantung perwakilan, cai dan sekeping kad jemputan dikatakan boleh ditunaikan berjumlah RM2,000 jika Jamal menang pemilihan.

Sementara itu, Jamal berkata, akan memberikan penjelasan kepada Lembaga Disiplin UMNO dan membuat sidang media selepas itu di Pusat Dagangan Dunia (WTC).

“Saya akan membuat penjelasan mengenai aduan oleh pihak tersebut,” katanya, lapor FMT.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *