AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membidas Anggota Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee yang mempersoalkan kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan kenyataannya mengenai pertikaian Laut China Selatan dengan China.
Dr. Faiz Na’aman berkata, Lee begitu teruja mempertahankan kenyataan ‘rundingan’ dengan China yang digunakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sehingga menggunakan perkataan bodoh terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu.
“Untuk Howard Lee, tidak pernah mana-mana pihak jadi bodoh atau berpura-pura bodoh jika menegur perdana menteri melalui ayat yang sopan dan teratur seperti orang yang bertamadun.
“Kita ini negara demokrasi, sudah tentu kritikan akan datang dari pelbagai pihak terutamanya pembangkang.
“Saya fikir pihak Pakatan Harapan (PH) lagi teruk apabila menghentam Najib Razak sebelum ini yang dilihat rapat dengan projek-projek nasional terkait pembabitan China,” kata Faiz.
Lee sebelum ini dilaporkan berkata, Muhyiddin bodoh atau pura-pura bodoh ketika mempertikaian istilah ‘diplomasi’ perdana menteri dalam itu pertikaian kawasan di Laut China Selatan.
Kata Lee, sebagai bekas perdana menteri, beliau sepatutnya tahu bahawa isu hubungan antarabangsa melibatkan banyak perkara, termasuk urus tadbir, pertemuan, dan timbang tara untuk menyelesaikan, atau setidak-tidaknya mengendurkan ketegangan dalam sesuatu isu.
Muhyiddin sebelum itu membidas Anwar sebagai ‘cuai’ apabila berkata, Putrajaya terbuka kepada rundingan selepas Beijing membangkitkan projek operasi cari gali Petronas di kawasan laut tersebut.
Muhyiddin berkata, kenyataan Anwar itu secara tidak langsung boleh dianggap memperakui tuntutan China terhadap wilayah Malaysia.
Sementara itu, Faiz berkata, Anwar yang seringkali menoleh ke Indonesia dalam mencari sokongan politik serta inspirasi, gagal menyelami semangat nasionalisme negara itu yang tidak berkompromi perihal kedaulatan tanah air mereka.
“Pernah dengar kalimah NKRI (Negara Kesatuan Republik Indonesia) harga mati, ngak (tidak) bisa ditawar lagi,” soalnya.
Faiz juga berkata, tidak pernah mendengar perdana menteri negara serantau, termasuk Thailand, Indonesia, Filipina dan Vietnam, menggunakan istilah ‘berunding’ apabila melibatkan pertikaian tuntutan hak sempadan maritim negara mereka dengan China.
“Maka tidak hairanlah Anwar dicop lemah oleh Tan Sri Muhyiddin dalam soal ini.
“Saya pula ingin soal adakah Anwar ini cuba berlakon lunak dengan China sedangkan satu negara tahu pihak luar mana yang beri sokongan terhadap gerakan politik beliau sejak zaman Reformasi,” soalnya lagi, lapor MalaysiaKini.
Leave a Reply