PENGERUSI UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin memaklumkan, tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah telah dipecat daripada UMNO.
Menurutnya, tiga ADUN itu ialah Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Mohd. Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit).
“Ada tiga dikenakan tindakan pecat, Datuk James Ratib sudah diambil tindakan dipecat, Mohd. Arsad dan Jasnih juga dipecat. Shahelmey digantung,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Sabah, di bangunan UMNO, di Kota Kinabalu hari ini, lapor Sinar Harian.
Ditanya mengenai status ADUN Tanjong Batu, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy pula, Bung Moktar memaklumkan, tiada tindakan dikenakan terhadap wakil rakyat berkenaan.
Andi Muhammad masih berada di dalam barisan kepimpinan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan dilantik sebagai Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah.
Pada 21 Februari lalu, empat ADUN termasuk James, Mohd. Arsad dan Jasnih mengumumkan keluar daripada parti dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).
Selain itu, ADUN Balung, Datuk Hamid Awang juga turut mengambil keputusan sama iaitu keluar daripada UMNO.
Leave a Reply