PRN: Pusat ambil alih rundingan jika negeri gagal capai kata putus – Saiffudin

PIMPINAN Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) akan mengambil alih rundingan jika peringkat negeri gagal mencapai kata putus agihan kerusi dalam tempoh ditetapkan bagi berdepan enam Pilihan Raya Negeri (PRN).

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, itu proses yang ditetapkan jika rundingan yang sedang berlaku di peringkat negeri ketika ini menemui jalan buntu.

“Arahannya adalah negeri mulakan dahulu (rundingan) melalui proses yang berdasarkan parameter ditentukan Pusat…(jika) negeri tak dapat menyelesaikan (baru Pusat akan ambil alih), selalunya macam itulah, akan ada satu dua kerusi (gagal capai kata sepakat).

“Mereka (pimpinan negeri) diberi satu tempoh untuk berunding kerusi tetapi saya tak ingat berapa lama tempoh itu untuk menyelesaikannya.

“Maknanya kalau sampai tempoh itu, pimpinan negeri BN dan PH ada lagi beberapa kerusi gagal dipersetujui misalnya, hal itu akan diambil alih oleh peringkat Pusat,” katanya kepada BH, hari ini.

Katanya, ketika ini Kedah dan Selangor sudah memulakan rundingan manakala Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, sudah menetapkan tarikh untuk melakukan rundingan.

Bagaimanapun, ujar Saifuddin Nasution, pihaknya masih menunggu bagi Kelantan dan Terengganu.

Dalam pada itu, mana-mana wakil rakyat PKR yang menyandang sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), namun bertanding dan menang sebagai Ahli Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) baru-baru ini, belum tentu akan dicalonkan semula untuk PRN.

Namun, beliau berkata, sama ada mereka kekal bertanding di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) atau hanya tumpu kepada Parlimen, akan dibincangkan lebih lanjut oleh parti.

“Ayat lebih tepat, ada kemungkinan mereka kekal, ada kemungkinan mereka digantikan, antara dua kemungkinan itu, parti akan tentukan, tetapi belum ada apa-apa keputusan terhadap kedudukan itu.

“Sebab waktu Parlimen (PRU15) tempoh hari, kami tumpu kepada calon terbaik yang boleh menyumbang kemenangan dan kebetulan ketika itu, calon terbaik itu adalah (datangnya dari) ADUN,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *