SEORANG lelaki tempatan ditahan polis susulan kejadian pergaduhan membabitkan dua pemandu kenderaan di Jalan Permatang Janggus, Perai, Pulau Pinang yang video itu tular di media sosial sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, suspek yang berusia lewat 30-an itu ditahan pada hari sama.
Jelas beliau, siasatan awal mendapati kejadian berlaku di Jalan Permatang Janggus menghala ke Permatang Pauh pada tarikh dan masa yang tidak dapat dipastikan.
“Menerusi video itu, kelihatan sebuah kereta dan lori berhimpit antara satu sama lain sebelum kedua-dua pemandu memberhentikan kenderaan masing-masing dan bergaduh.
“Pemandu kereta dilihat telah mengeluarkan satu objek dari dalam bonet belakang keretanya dan bertindak memukul nombor plat di bahagian hadapan lori terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Semalam, video pergaduhan berdurasi dua minit 40 saat itu mula tular di media sosial selepas dimuat naik di laman Twitter ‘Nan Manjoi’ sebelum dikongsi pengguna sosial lain.
Leave a Reply